Home Agama Rawatan, terapi holistik Islam perlu seiring

Rawatan, terapi holistik Islam perlu seiring

Satu anjakan paradigma sedang berlaku di dalam bidang perubatan seluruh dunia seiring dengan kesedaran tentang perubatan sebenar dari perspektif islam, kini bidang perubatan sudah mula di intergrasikan dengan mengambil kira aspek spiritual tidak seperti sebelumnya di mana kejadian penyakit hanya dikaitkan dengan faktor dan penyelesaian fizikal semata-mata.
Perubatan berintergrasi yang juga disebut sebagai Terapi Holistik menggabungkan penyelesaian penyakit tanpa meninggalkan kedua-dua aspek penting seseorang manusia iaitu jasmani dan rohani. Penyakit muncul apabila berlakunya mana-mana ketidak seimbangan dari segi jasmani, rohani.  Jasmani dan rohani adalah saling berkaitan dan jika berlaku ke tidak seimbangan bagi keduanya akan menyebabkan kejadian kombinasi penyakit fizikal dan spiritual.

Para doktor memahami penyakit fizikal dan akal (mental ). Aspek mental ini disebut sebagai psikologi. . Namun, adalah di akui bahawa para doktor masih kurang pendedahan ilmu mengenai kalbu dan nafsu dan aspek inilah yang memainkan peranan penting di dalam masalah rohani atau spiritual.

Pakar perubatan barat sudah mula menyedari bahawa ada unsur-unsur gangguan spiritual yang menyebabkan  masalah psikopatologi yang semakin hari semakin meningkat. Mereka terpaksa menerima hakikat kewujudan jin dan syaitan di dalam kejadian penyakit – penyakit fizikal  lebih-lebih lagi dalam penyakit psikologikal.
Walau bagaimana pun modalti kajian masalah spiritualiti masih belum di masukkan ke dalam silibus pengajian perubatan yang asas.

Begitu juga dengan sistem pendidikan negara kita yang belum lagi menggabungkan antara agama dgn kehidupan seharian sebagai cara hidup ( Ad Deen ) maka ramailah para doktor yang mencari ilmu spiritual ini di luar ruang lingkup universiti dan ini juga menjadi punca mengapa dua modaliti fizikal dan spiritual ini sukar di laksanakan dalam praktis para doktor perubatan moden.

Para pengamal perubatan komplementari terpaksa bertindak sebagai pelengkap dimana-mana terdapat kekurangan di dalam rawatan perubatan moden yang sedia ada sekarang. Gabungan kesemua kemahiran ini diharapkan dapat menampung segala yang diperlukan untuk kebaikan pesakit dan inilah yang disebut sebagai Terapi Holistik Islam di Malaysia.
Sudah terdapat usaha untuk memperlengkapkan  kemudahan rawatan yang menggabungkan antara perubatan moden dan komplementari ini di beberapa buah hospital kerajaan. Kesemua kaedah rawatan traditional dan komplementari termasuk rawatan Ruqyah Syariyyah akan di letakkan di bawah satu unit khas yang berdekatan dengan bangunan induk hospital.

Jin dan Syaitan diciptakan sebagai ujian kepada manusia dan membawa hikmah yg besar kerana dgn adanya masalah gangguan jin dan syaitan maka manusia berusaha menggali ilmu, Begitu juga dengan penciptaan virus, bakteria, parasit dan segala patogen penyebab penyakit yang lain itu semuanya bertujuan untuk menyedarkan manusia tentang kekuasaan dan kebesaran Allah.

Kejadian penyakit adalah sunnahtullah iaitu sesuatu yang pasti berlaku dan tidak dapat di elakkan dan ia mempunyai tujuan supaya manusia itu sendiri kembali kepada Allah. Rawatan yang tidak mengaitkan konsep sakit kepada tauhid yg sebenar tidak akan dapat menghasilkan kesembuhan yang diharapkan bahkan kecelaruan emosi pesakit boleh berlaku kerana gagal memahami maksud “penyembuhan yg sebenar”.

Apabila memperkatakan tentang “penyembuhan yg sebenar “ kita tidak boleh elak dari mengenali Yang Maha Penyembuh itu sendiri. Ini harus dimulai dengan pesakit itu diberi faham tentang siapakah yang dikatakan sebenar-benar diri, dari mana diri berasal dan bagaimana diri itu akan kembali kepada Yang Maha menciptakannya.

Para perawat yang beragama islam khususnya para doktor yang mukmin harus memainkan peranan di dalam memikul amanah membimbing pesakit ke arah kembali kepada Allah. Pesakit tidak boleh dijadikan sebagai pelanggan yang melanggani ubat atau pusat rawatan yang di milikki oleh seseorang doktor.

Pekerjaan seorang doktor itu sebenarnya lebih cenderung kepada jihad untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di mukabumi ini. Maka sewajarnya para perawat atau doktor itu sendiri harus mempersiapkan diri dengan ilmu tauhid yang sebenar supaya dapat membimbing orang lain pula ke jalan yang benar. –
MalaysiaGazette