Home Utama Nilai projek MRT daripada pelbagai sudut, bukan hanya pengangkutan awam – PM

Nilai projek MRT daripada pelbagai sudut, bukan hanya pengangkutan awam – PM

Najib Razak menaiki Mass Rapid Transit (MRT) pada pelancaran MRT fasa satu laluan Sungai Buloh-Kajang di Stesen MRT Kwasa Damansara. foto FAREEZ FADZIL, 15 Dis. 2016.

Siapnya projek MRT perlu dilihat bukan sahaja kejayaan dalam sistem pengangkutan awam sahaja, kata Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Najib Razak, kejayaan merealisasikan sistem pengangkutan moden itu juga perlu dilihat dalam aspek meningkatkan peluang pekerjaan, nilai hartanah dan menaikkan nama syarikat terlibat.

“Jangan lihat pada sudut pengangkutan awam semata-mata. Ia perlu dilihat kejayaan dalam pelbagai dimensi,” ujarnya semasa merasmikan Laluan MRT Fasa Pertama Laluan Sungai Buloh-Kajang di Stesen Kwasa Damansara petang tadi.

Menurut Najib, tenaga profesional yang terlibat juga sudah pasti diiktiraf peringkat dunia kerana kejayaan dalam MRT.

Beliau juga berbangga kerana projek MRT siap mengikut jadual selama lima tahun seperti ditetapkan.

Menurutnya, ia adalah sesuatu yang membanggakan memandangkan projek MRT merupakan projek mega sedangkan banyak pembinaan bangunan biasa seperti sekolah dan hospital banyak yang tertangguh.

Selain itu, laluan MRT yang siap sepenuhnya tahun depan melibatkan jajaran 51 kilometer itu juga dapat digunakan lebih 400,000 orang setiap hari di Lembah Klang.

Ia juga mengurangkan kadar kira-kira 160,000 kenderaan.

Lebih signifikan, Najib berkata, sasaran syarikat bumiputra yang berjaya mendapat tender kerja-kerja berkaitan MRT sebanyak 50 peratus melebihi sasaran 43 peratus juga membanggakannya.

Begitu juga dengan pemilihan 13 graduan bumiputera yang diberi peluang mempelajari kemahiran industri pembinaan dan keretapi melalui Program Usahawan Muda MRT, tambah beliau.

“Malah agenda bumiputera ini diamalkan hingga pemilihan usahawan untuk kedai di stesen MRT di mana penglibatan bumiputera sebanyak 50 peratus di ruang niaga stesen MRT dan ini jauh melebihi sasaran awal hanya 30 peratus,” katanya lagi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan gembira kerana kos pembinaan MRT berjaya dijimatkan sebanyak RM2 bilion daripada kos sasaran awal RM23 bilion.

Malah beliau juga mengumumkan tren MRT fasa pertama mulai esok disediakan percuma selama sebulan.–MalaysiaGazette