Sembilan syarikat pengedar buah-buahan utama Chile menyatakan minat masing-masing untuk mengimport buah-buahan tropika dari Malaysia.
Minat itu disuarakan pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Duta Besar Malaysia di Chile, Datuk Mohamad Rameez Yahya, pada Khamis.
Dalam satu kenyataan oleh kedutaan itu hari ini menyebut bahawa mesyuarat itu diadakan susulan promosi buah-buahan di Santiago La Vega Mercardo Central pada bulan sebelumnya, yang mengetengahkan rambutan dan nangka dari Malaysia.
Ia berkata rambutan beku tanpa biji dan nangka diterbangkan terus dari Malaysia dengan kerjasama FAMA Malaysia.
Acara promosi La Vega turut menyaksikan makanan Malaysia seperti Pengat Nangka dan Teh Tarik dihidangkan sebagai pelengkap kepada buah-buahan berkenaan, kata kenyataan itu.
Bergantung kepada kajian daya maju dan ketersediaan pengimportan rambutan dan nangka, kenyataan itu turut menyebut bahawa pengimport juga berminat mengimport buah-buahan lain seperti durian Musang King, bagi memenuhi selera ramai penduduk Asia yang menetap di Chile.
Pengimportan buah-buahan eksotik Malaysia akan meningkatkan lagi dagangan dua hala antara Malaysia dan Chile yang kini merekodkan RM1 bilion, katanya.
Malaysia kini mengeksport barangan elektrik dan elektronik, getah, perabot, pakaian, dan fabrik selain kereta Proton yang menembusi pasaran Chile sekali lagi pada Mei 2016.
— BERNAMA