Home Nasional Syarikat farmaseutikal, insurans kereta, pemegang konsensi disiasat MyCC

Syarikat farmaseutikal, insurans kereta, pemegang konsensi disiasat MyCC

Iskandar Ismail

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat pelbagai syarikat termasuk enam syarikat farmaseutikal, syarikat insurans kereta dan sebuah syarikat konsensi.

Kira-kira 70 peratus daripada kes itu katanya, adalah melibatkan kesalahan mengikut Seksyen 4 di bawah Akta Persaingan 2010, iaitu melibatkan penetapan harga melalui satu pakatan dan keengganan menyediakan perminataan.

“MyCC telah menerima 48 aduan baharu ke atas enam syarikat farmaseutikal, syarikat insurans kereta dan sebuah syarikat konsensi.

“Kesemua syarikat terlibat ini telah dipanggil untuk memberi keterangan dan buat masa ini siasatan masih lagi berjalan,” kata Pengarah MyCC (Penguatkuasaan), Iskandar Ismail.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kursus Media Mengenai Akta Persaingan anjuran bersama MyCC dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Iskandar membertahu, MyCC telah mengenakan penalti sejumlah RM25 juta kepada enam buah syarikat membabitkan pelanggaran Akta Persaingan 2010 sejak dikuatkuasakan pada Januari 2012.

Dua syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan AirAsia adalah antara syarikat yang dikenakan penalti iaitu masing-masing sebanyak RM10 juta.

Sementara empat lagi syarikat adalah My EG Services Berhad (MyEG) yang dikenakan penalti RM2.27 juta; Tube Ice Manufactures (RM252,250), Sibu Confectionary and Bakers Association (RM247,730) dan CDO Penang (RM645,774).

Iskandar turut menjangkakan jumlah tersebut akan meningkat pada tahun hadapan dengan adanya pindaan pada Akta Persaingan 2010 selewat-lewatnya Mac depan.

“Menerusi pindaan itu, kita akan memperkemaskan kuasa pegawai MyCC selari dengan perkembangan semasa,” katanya. – MalaysiaGazette