Kira-kira 50 kakitangan Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) yang kini di Jeddah gusar dengan nasib mereka selepas dimaklumkan hanya akan dibawa pulang oleh syarikat penerbangan sewa itu pada 1 Januari tahun depan.
Ini kerana sebahagian besar visa kakitangan Eaglexpress telah tamat tempoh, kata seorang pramugari syarikat penerbangan itu kepada MalaysiaGazette.
Selain anak kapal, jumlah itu turut melibatkan juruterbang, jurutera dan kakitangan darat.
Pramugari yang enggan namanya didedahkan berkata, Eaglexpress ada memaklumkan jika kakitangan di Jeddah yang ingin pulang lebih awal, kos penerbangan perlu ditanggung sendiri.
“Kami pasrah sahaja sekarang kerana sudah buntu. Sudahlah gaji tertunggak dua bulan, elaun pun tak masuk, visa pula tamat memang tidak tahu hendak cakap apa.
“Doa kami di sini agar agensi-agensi yang mengawas selia industri penerbangan prihatin dengan nasib pekerja seperti kami dan siasatlah mengapa Eaglexpress boleh lepas tangan tanpa ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa,” katanya.
Katanya, ada juga kakitangan yang mengeluarkan duit dari poket sendiri untuk pulang ke Malaysia kerana sudah tertekan dengan keadaan ini.
Sebelum ini, kakitangan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Jeddah itu mendakwa mereka tidak menerima elaun sejak awal tahun ini dan tungakkan gaji asas dari Oktober dan November. Manakala caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pekeso juga tidak dijelaskan sejak tahun lalu.
Difahamkan aduan mengenai perkara ini sudah sampai ke tangan Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (Mavcom) dan Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) memaklumkan ia masih dalam siasatan.
Pengerusi Eaglexpress, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang diminta mengulas isu itu meminta MalaysiaGazette bercakap sendiri dengan pengurusan namun usaha menghubungi pengurusan Eaglexpress masih gagal.
Jelas pramugari yang telah berkhidmat lebih dua tahun itu, beliau dan rakan-rakan di Jeddah sudah tidak sabar untuk pulang ke tanah air untuk menuntut segala tunggakan bayaran gaji dan elaun.
Katanya, untuk dirinya sendiri Eaglexpress berhutang lebih RM40,000.
Beliau berkata, sebelum ini pengurusan Eaglexpress telah menetapkan 27 November lalu untuk membawa pulang kakitangan sedia ada di Jeddah.
Namun, penerbangan umrah dari Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan kerana Eaglexpress gagal mendapat permit mendarat.
Bagaimanapun, dalam kenyataan medianya tiga hari lalu, Eaglexpress dalam memaklumkan penerbangan sulung oleh Eaglexpress Al-Fajr akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lalu (13 Disember 2016).
Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pasukan Eaglexpress sedang berurusan dengan pihak berkuasa berkaitan di Arab Saudi bagi mengesahkan slot pendaratan di Jeddah and Madinah.
Namun, pada Rabu lalu, sebuah portal media melaporkan seramai 250 peserta jemaah umrah terkandas selepas penerbangan Eaglexpress dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah, dibatalkan.
Jurucakap Eaglexpress, Farra Alia berkata memaklumkan, penerbangan jemaah umrah itu dibatalkan kerana tidak mendapat kebenaran mendarat di Arab Saudi. – MalaysiaGazette