MUAR – Tindakan burung tiung menarik rambut seorang budak lelaki berjaya mengejutkannya daripada tidur sekaligus menyelamatkannya dari kebakaran.
Semasa kejadian, Li Zheng Xiang, 7, sedang tidur nyenyak di loteng tetapi dikejutkan dua ekor burung tiung. Dia yang terkejut dengan asap tebal yang menyelubunginya telah menangis kuat.
Suara tangisannya mengejutkan ayahnya, Li Zhi Guang yang duduk serumah dalam rumah kedai setingkat di Taman Bakariah, Muar, Johor.
Kejadian yang berlaku pada pukul 7 pagi Khamis lalu itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Kebakaran itu berjaya dipadamkan melalui bantuan orang ramai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menghantar dua jentera ke tempat kejadian.
Menurut Zheng Xiang, tingkap di rumahnya sentiasa terbuka dan dikunjungi burung tiung.
Kanak-kanak tersebut juga sering memberi makanan kepada burung-burung tiung dengan menggunakan sisa daripada gerai mi neneknya.
Kisah Zheng Xiang telah tersebar dalam kalangan penduduk tempatan yang berpendapat burung tiung telah membalas budi dengan menyelamatkan kanak-kanak itu.