Home Politik Zahid janji terus bantu Najib

Zahid janji terus bantu Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukan sesuatu dari telefon bimbit beliau kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan yang lain pada Majlis Kesyukuran Penglibatan 40 tahun beliau dalam arena politik di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). foto SAFWAN MANSOR, 20 FEB 2016
BAGAN DATOH – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berjanji akan terus membantu Datuk Seri Najib Tun Razak tidak kira dalam keadaan apa sekalipun.

Beliau turut meminta orang ramai khususnya penduduk Parlimen Bagan Datoh supaya mendoakan hubungan beliau dengan perdana menteri terus berpanjangan.

“Saya minta orang Bagan Datoh mendoakan hubungan saya dengan Najib terus berpanjangan sebagai pemimpin nombor satu dan dua, seorang sahabat, adik beradik,” katanya ketika berucap pada majlis sepetang Timbalan Perdana Menteri bersama kepimpinan masyarakat Parlimen Bagan Datoh di Wisma Bagan Datoh di sini.

Pada majlis itu, kira-kira 500 orang pemimpin masyarakat setempat dan anggota parti Komponen Barisan Nasional hadir.

Ahmad Zahid berkata beliau telah bekerja bersama Najib sejak 1 Okt 1987 sebagai setiausaha politik semasa perdana menteri ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan sebelum menjadi Menteri Pertahanan.

“Selepas itu saya terus bekerja dalam sektor korporat, namun saya membantunya (Najib) dari luar,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh meminta pihak tertentu supaya menghentikan segala fitnah ke atasnya termasuk surat layang kononnya beliau mendesak Najib meletak jawatan kerana ia hanya membuang masa.

Ahmad Zahid menegaskan sepanjang kerjaya politiknya beliau tidak pernah menjatuhkan sesiapa dan pegangan itu menyebabkannya kekal sebagai Anggota Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh.

“Bukan jenis saya untuk menjatuhkan sesiapa termasuk perdana menteri sebab itu di Bagan Datoh saya selamat dari 1985 sampai sekarang dan tiada siapa lawan saya,” katanya.

— BERNAMA