Home Seni Hidup Kontrak rakaman kepada juara dangdut

Kontrak rakaman kepada juara dangdut

Isu lagu dangdut yang pernah dipinggirkan oleh stesen radio kini tetap dipertahankan.

Malah ada yang menyifatkan kemerosotan irama tersebut dalam dunia hiburan semakin ketara berikutan kurangnya publisiti mengenainya sejak kebelakangan ini.

Namun biarpun jarang sekali disiarkan di stesen radio, irama tersebut masih diikuti oleh segolongan peminat setia seperti di kelab-kelab dangdut dan persembahan pentas.

Irama dangdut pada masa ini sebenarnya ‘bergerak’ bersendiri dan agak tertutup, tidak seperti pada zaman popularitinya dahulu.

Kesegaran irama dangdut akan dapat diperoleh apabila penyanyi dangdut muncul mengadakan persembahan.

Bagi mencari pelapis bakat-bakat baharu dangdut, D’Istana Dugem Club/KTV, On The 6th tampil menganjurkan satu pertandingan nyanyian iaitu Pertandingan Karaoke Mencari Raja/Ratu D’Istana.

Pertandingan itu bagi membuka peluang keada mereka yang berbakat dalam bidang nyanyian dan mempunyai impian bergelar penyanyi dangdut selain platform cari makan dengan menyanyi.

Bagi merealisasinya, D’Istana Dugem Club/KTV, On The 6th yang merupakan sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur akan kerjasama dengan DBI Entertainment dengan menawarkan kontrak rakaman kepada juara.

Pengarah Urusan On The 6th, Shamsol Marrif berkata, uji bakat itu terbuka secara individu dan peserta bebas memilih apa jua jenis lagu termasuk dari genre lain selain dangdut.

Sebanyak tiga saringan sesi uji bakat akan diadakan bermula di Melaka pada 7 Januari 2017 ini diikuti di Kuala Lumpur.

“D’Istana Dugem Club sebenarnya mahu menaikkan kembali irama dangdut termasuk genre muzik lain seperti zapin dan pop yang dicungkil menerusi pelapis dalam pertandingan ini.

“Seperti mana genre muzik sedia ada, ‘dugem’ juga semakin mendapat sambutan pengunjung iaitu bermaksud lagu Melayu yang di remix dengan muzik disko,” katanya pada majlis pelancaran pertandingan itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, sehingga kini, pertandingan berkenaan mendapat sambutan positif daripada peserta dan menariknya, juara pertandingan ini bukan sahaja membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan trofi tetapi kontrak rakaman bersama DBI Entertainment untuk tempoh dua tahun bersama dua single.

Hadiah tempat kedua pula adalah wang tunai sebanyak RM2,000 manakala RM1,000 untuk pemenang tempat ketiga.

Mereka yang berminat untuk turut serta dalam uji bakat boleh menghubungi Yanie (0111-220 9809) atau Intan (018-688 6989).–MalaysiaGazette