Home Ekonomi Garis panduan REIT dikaji untuk pacu pertumbuhan

Garis panduan REIT dikaji untuk pacu pertumbuhan

Johari Abdul Ghani (tengah) pertkaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) mengenai usahasama strategikantara Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad, Adenan Md Yusof (dua kiri) dengan Kenedix Inc. yang diwakili oleh Presiden Kenedix Asia Pte Ltd, Mr Akihiro Nakao (dua kanan) di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 Dis 2016.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti sedang melakukan kajian komprehensif terhadap Garis Panduan Pelaburan Amanah Hartanah (REITs) untuk memudahkan pertumbuhan pasaran matang REIT dengan meningkatkan amalan tadbir urus yang lebih kukuh.

Kajian itu berikutan perubahan keperluan pelabur dan REIT, serta mengambil kira perkembangan dan keperluan kawal selia dalam pasaran serantau.

Menteri Kewaangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, pasaran REIT di Malaysia masih lagi kecil iaitu RM41.07 bilion (AS$10 bilion) berbanding pasaran matang seperti Jepun (AS$110 bilion), Australia (AS$105 bilion), Singapura (AS$53 bilion) dan Hong Kong (AS$27 bililion).

Meskipun saiznya rendah, hasil purata dividen yang ditawarkan oleh Malaysia REIT sekitar 6.5 peratus, secara relatifnya kompetitif berbanding pasaran utama. Jepun menawarkan 3.4 peratus, Australia 4.81 peratus dan Hong Kong 4.26 peratus.

Pulangan daripada REIT lebih menjamin berbanding pendapatan sewa hartanah pejabat, kedai, kilang atau operasi hotel , juga lebih tinggi berbanding purata deposit tetap kira-kira 3.1 peratus.

“Objektif utama kajian SC ini untuk memudahkan pertumbuhan dengan mengembangkan skop aktiviti yang dibenarkan yang boleh dilaksanakan oleh REIT; meningkatkan keperluan tadbir urus dan kecekapan melalui memperkemas keperluan selepas penyenaraian REIT dengan syarikat disenaraikan.

“Kriteria utama penambahbaikan ini membolehkan REIT melabur dalam pelbagai rangkaian kelas aset hartanah. Dicadangkan REIT melaksanakan pembangunan hartanah tertakluk kepada had sebanyak 15 peratus daripada jumlah nilai aset mereka.

“Di bawah rangka kerja semasa, walaupun REIT dibenarkan memperoleh hartanah sedang dibina bernilai sehingga 10 peratus daripada jumlah nilai aset tetapi tidak dibenarkan untuk menjalankan aktiviti pembangunan hartanah atau memperoleh tanah kosong,” katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani perjanjian antara Amanah Raya Berhad dan Kenedix Inc.

Di bawah liberalisasi yang dicadangkan itu, Johari berkata, REIT dibolehkan membangun hartanah untuk memberi nilai baru atau mengembang portfolio harta bagi menjana pendapatan sebenar, sekali gus mewujudkan lebih nilai untuk pemegang unit mereka.

SC juga mencadang agar membenarkan REIT memperoleh kepentingan dalam hartanah melalui pajakan swasta.

Menurutnya, cadangan ini meluaskan rangka kerja semasa, yang mana REIT hanya dibenarkan untuk mengambil alih kepentingan dalam hartanah melalui perjanjian pajakan jangka panjang yang pemajaknya adalah kerajaan atau agensi kerajaan.

Penambahbaikan ini adalah selaras dengan pemerhatian bahawa pelaburan dalam pajakan swasta REIT semakin mendapat sambutan dalam peserta rantau dan industri telah melahirkan minat dalam pelaburan tersebut.

Katanya, SC juga bercadang untuk mengukuhkan amalan tadbir urus korporat dan meningkatkan tahap pendedahan dan melaporkan kepada pemegang unit.

Pengurus REIT perlu menubuhkan satu Jawatankuasa Audit untuk meningkatkan perlindungan pelabur dan ia termasuk penyata tentang tadbir urus korporat dan kawalan dalaman dalam laporan tahunan.

Selain itu, pilihan yang membolehkan REIT meningkatkan peruntukan pinjaman lebih daripada 50 peratus dengan mendapatkan kelulusan pemegang unit dicadangkan dibatalkan.

Langkah ini untuk memastikan REIT tidak akan terlalu terdedah kepada risiko pinjaman yang tinggi.

Johari menambah, SC juga sedang memperkemas keperluan selepas penyenaraian REIT dengan syarikat-syarikat yang disenaraikan menggunakan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities Malaysia Berhad kepada REIT, dengan penambahbaikan tertentu. – MalaysiaGazette