Home Nasional Pegawai polis terlibat gubah wang haram RM2.08j

Pegawai polis terlibat gubah wang haram RM2.08j

SPRM

Seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bharu hari ini atas kesalahan melakukan penggubahan wang haram bernilai kira-kira RM2.08 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh Mohd. Ismail Syed Merah, 53, yang bertugas di Jabatan Logistik Bukit Aman mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataannya berkata, bagi tiga pertuduhan pertama, Mohd. Ismail didakwa membeli sijil Pelan Perlindungan Insurans Takaful atas nama tertuduh dan anaknya, masing-masing bernilai RM10,000, RM6,283 dan RM40,000 yang dipercayai hasil aktiviti haram.

Bagi dua pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa menambah pembelian Pelan Takaful atas nama tertuduh berjumlah RM1.49 juta.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan antara September 2014 dan 26 Februari 2015 di MAA Takaful Bhd, Jalan Tun Razak, Johor Bharu.

Bagi dua pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa melibatkan diri dalam penggubahan wang haram masing-masing berjumlah RM499,620 dan RM29,950 yang dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama seorang individu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 8 Oktober dan 28 Disember 2015 di RHB Bank dan CIMB Bank Cawangan Baru Pahat, Johor.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.

Hakim Mohd. Fauzi menetapkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan nama tertuduh akan disenaraihitamkan di Jabatan Imigresen.

Tarikh sebutan semula kes pada 23 Januari 2017.-MalaysiaGazette