Kehadiran Presiden Pas ke Iran tidak salah kerana Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menggunakan pendekatan diplomasi dalam menyedarkan masyarakat antarabangsa.
Presiden Parti BERJASA, Datuk Seri Dr. Mustapha Kamal Maulut berkata, kehadiran Abdul Hadi ke Himpunan Ulama Sedunia di Teheran juga peluang kepadanya menyebarkan kebaikan.
“Ini peluang Abdul Hadi untuk menjelaskan kepada masyarakat antarabangsa, untuk menegakkan hak-hak perikemanusian ke atas Muslim Syria. Walaupun Iran adalah sekutu kuat Basyar tetapi kalau Abdul Hadi dapat berucap menyeru masyarakat antarabangsa untuk melindungi kanak-kanak, wanita dan rakyat Muslim, itu usaha yang baik, semoga dibantu Allah.
“Berbeza dengan setengah orang lain pergi ke Iran, jika lemah ilmu akidah boleh terpengaruh dengan Syiah, terima amalan nikah mut’ah (kontrak) seperti zina dan mengkafirkan tiga Khalifah ar-Rashidin,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Ditanya kecaman Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Dr. Yusuf Qardawi mengenai kehadiran Abdul Hadi ke Teheran, Mustapha Kamal berpendapat, tidak salah Abdul Hadi menggunakan pendekatan diplomasi.
“Negara-negara Arab dan Yusuf Qardawi sudah mengecam Bashar Al-Ashad tetapi kekejaman, pembunuhan, perogolan terus dilakukan oleh Bashar, jadi tidak salah Abdul Hadi terus mencuba dengan jalan diplomasi kesedaran untuk menamatkan siri kekejaman tidak berperi kemanusiaan itu,” ujarnya lagi.
Selain itu, katanya, kerajaan Malaysia juga perlu menyuarakan bantahan apa yang berlaku di Aleppo kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.–MalaysiaGazette