Home Utama Dividen ASB 6.75 sen, bonus 0.50 sen

Dividen ASB 6.75 sen, bonus 0.50 sen

Abdul Wahid Omar (kiri) bersama Abdul Rahman Ahmad (kanan) antara muka baru lembaga pengarah baharu PNB dan ASNB.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus 0.50 seunit untuk tabung Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2016.

Agihan pendapatan itu lebih rendah berbanding 7.25 sen seunit pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, ASB mampu menjana pendapatan kasar sebanyak RM9.59 bilion sehingga 30 November tahun ini.

Pendapatan dividen daripada syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM4.16 bilion atau 43.4 peratus, manakala keuntungan daripada jualan saham menyumbang sebanyak RM3.82 bilion daripada pendapatan kasar.

Baki RM1.60 bilion atau 16.7 peratus pula adalah pendapatan daripada instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan.

Sementara itu, Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, prestasi ASB adalah lebih baik berbanding pasaran saham tempatan, yang mana indeks utama FBM KLCI telah mencatatkan keseluruhan penurunan 1.7 peratus (pulangan keseluruhan kepada pemegang saham setelah mengambil kira pilangan dividen) sehingga 30 November 2016.

Tahun ini merupakan tahun ketiga berturut-turut pasaran tempatan menurun sebanyak 73 mata daripada paras 1,692.5 mata pada 31 Disember 2016 kepada paras 1,619 mata pada 30 November 2016.

“ASB masih mampu memberi pulangan kompetitif serta pulangan terbaik dalam kalangan instrumen seumpamanya meskipun pulangan pasaran saham telah mencatatkan pulangan negatif,” katanya pada sidang media di sini.

PNB juga mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi tabung unit Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Jumlah pengagihan sebanyak RM92.86 juta akan dimanfaatkan kepada lebih 1.2 juta pemegang unit yang melanggan 1.85 bilion unit ASN.

Sehingga 30 November lalu, ASN merekodkan jumlah pendapatan kasar sebanyak RM82.72 juta.

Keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM44.50 juta, pendapatan dividen daripada syarikat pelaburan sebanyak RM30.56 juta daripada jumlah pelaburan kasar.

Lebihan RM7.66 juta merupakan pendapatan daripada instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan.

Pengiraan pendapatan bagi ASB berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan 2016.

Pengiraan bonus yang dibayar oleh PNB pula berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan untuk tempoh 10 tahun terakhir.

Bayaran pengagihan pendapatan dan bonus ASB dikreditkan pada 1 Januari ini.

Pengagihan pendapatan ASN pula berdasarkan pegangan unit pada 31 Disember 2016, juga dikreditkan dalam buku pelaburan pemegang unit pada awal tahun 2017 berdasarkan nilai aset bersih ASN pada akhir tahun ini. – MalaysiaGazette