Felda Global Ventures (FGV) menghormati keputusan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) yang menjual kesemua pegangannya di dalam syarikat perladangan terbesar negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad berkata, FGV akan tetap meneruskan fokus mereka terhadap perniagaan teras dengan menambah baik produktiviti aset sedia ada, melupuskan aset bukan teras dan sekali gus memberikan pulangan terbaik kepada pemegang saham dan pemegang kepentingan.
“Kami akan terus melakukan semua itu dan dalam masa yang sama patuh kepada prosedur urus tadbir relevan dalam cara yang telus dan bertanggung jawab.
“FGV akan mempercepatkan komitmen untuk meluaskan potensi sebenar FGV dan seterusnya memberi nilai kepada pemegang saham.
“Kami akan terus berhubungan dengan KWSP serta masyarakat pelabur untuk mengemaskini progrs perniagaan kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, KWSP dalam kenyataanya memaklumkan ia tidak lagi mempunyai apa-apa kepentingan dalam FGV bagi meyakinkan amalan KWSP piawaian tadbir urus korporat dalam pelaburannya, dengan dasar-dasar yang teguh pada kawalan risiko dan peruntukan aset .
Selaras dengan amalan terbaik ini, KWSP telah memantau prestasi ekuiti FGV selama ini dan telah beransur-ansur dijual ke bawah pegangan saham miliknya.
Malah, KWSP turut mengesahkan pinjaman RM6.5 bilion yang diambil oleh Felda Holdings Bhd (Felda) tidak ingkar dan Felda terus membayar balik pinjaman mengikut terma dan syarat yang dipersetujui.
Sama seperti KWSP, Zakaria meminta pemegang kepentingan dan orang ramai untuk bertanyakan soalan secara terus kepada mereka untuk mengelakkan dikelirukan oleh media sosial serta khabar-khabar angin yang tidak berasas.
Saham FGV jatuh 3.70 peratus pada awal dagangan hari ini selepas pengumuman KWSP itu. – MalaysiaGazette