Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan 6,569 pemeriksaan di premis perniagaan di seluruh negara sepanjang tempoh skim kawalan harga barang musim Krismas pada 19 hingga 22 Disember lalu.
Pengarah Penguatkuasanya, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, daripada pemeriksaan tersebut hanya satu aduan diterima melibatkan harga ayam standard yang dijual pada harga lebih tinggi dari harga siling.
Menurutnya, aduan yang direkodkan di daerah Klang itu melibatkan pemborong.
“Kita akan siasat dan kalau nak akan cari pemborong itu dan memeriksa dakwaan ke atas mereka sebelum mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan An tipencatutan 2011,” katanya pada sidang media di Balakong di sini.
Terdahulu beliau yang diiringi Pengurus Besar Rantau Selatan Bahagian Perniagaan Peruncitan Pasaraya AEO, Mathavan Arjunan melakukan pemeriksaan harga di pasaraya tersebut.
Tambah beliau, peniaga perlu berdisiplin dalam mematuhi skim harga kawalan yang ditetapkan kerajaan pada setiap musim perayaan demi kepentingan pengguna.
Sebanyak 13 barang ditetapkan sebagai harga kawalan antaranya telur, tomato dan ayam belanda.
“Produk berkaitan Krismas antaranya ayam belanda dijual jauh lebih rendah, RM23.80 berbanding harga kawalan yang ditetapkan RM30.00.
“Ini menunjukkan peniaga berkaitan harga ayam dan tiada kes. Maknanya saya boleh katakan sepanjang masa peniaga berdisiplin.
“Bagi menentukan kestabilan harga barangan, KPDNKK akan terus memantau sehingga tamat tempoh pelaksanaan kawalan harga sehingga 28 Disember nanti,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang ingin mengemukakan aduan berkaitan skim harga kawalan menghubungi talian 80008000 atau talian hotline 180086800 untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette