KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta menyiasat segelintir doktor kerajaan yang menyarankan pesakit-pesakit jantung dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan miskin supaya menjalani rawatan dan pembedahan di hospital swasta.
Saranan itu dibuat dengan alasan hospital-hospital swasta dapat memberi rawatan atau pembedahan lebih cepat tanpa perlu menunggu giliran yang lama.
Sedangkan kalau mahu meneruskan rawatan dan pembedahan di hospital-hospital kerajaan, pesakit kononnya perlu tunggu berbulan-bulan atau sehingga giliran tiba.
Meskipun rawatan dan pembedahan berkaitan jantung menelan kos beribu-ribu di hospital swasta, namun keluarga pesakit diberi cadangan bahawa kutipan dana awam boleh dilakukan bagi menanggung pesakit.
Ini bermakna, keluarga pesakit terpaksa meminta bantuan sumbangan awam untuk mendapatkan rawatan atau menjalani pembedahan.
Bantuan dana ini bukan datang sekelip mata, keluarga mungkin terpaksa menunggu berbulan-bulan, bertahun pun ada.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pegawai MyPrihatin, Rahimi Abd Karim yang terlibat secara langsung dengan Yayasan Institut Jantung Negara (YIJN) sejak ia ditubuhkan pada tahun lalu.
Katanya, sumbangan awam yang diterima kadangkala cukup-cukup sahaja, tidak termasuk kos yang perlu ditanggung jika berlaku komplikasi lain kepada pesakit.
Sebab itu, apabila berlaku masalah sebegini, keluarga akhirnya terpaksa meminjam kepada keluarga lain atau pesakit tidak mendapat rawatan sempurna.
Rahimi mendakwa apabila timbul masalah ini, ada dalam kalangan keluarga pesakit yang mengalami kemurungan yang teruk.
“Sudahlah anak sakit, ibu bapa terpaksa berhenti atau ambil cuti bekerja. Sumbangan tidak cukup dan pada masa bil hospital (swasta) perlu dibayar,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Beliau yang turun padang bersama MyPrihatin bagi menyelesaikan masalah keluarga pesakit jantung berkata, isu ini perlu diberi perhatian serius oleh KKM kerana ia melibatkan doktor-doktor kerajaan sendiri.
“Pada awalnya saya terkejut apabila ada dalam kalangan keluarga pesakit memaklumkan perkara ini, tetapi apabila wujud beberapa kes seumpamanya, maka perlulah KKM melihat perkara tersebut.
“Apa motif doktor kerajaan memberi cadangan begitu sedangkan kerajaan selama tidak pernah gagal menyediakan bajet kesihatan, pelbagai bantuan rawatan dan perubatan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, MyPrihatin tidak mahu ada dalam kalangan doktor-doktor kerajaan yang menjadikan keluarga-keluarga pesakit jantung mangsa untuk mempromosikan perkhidmatan dan rawatan hospital-hospital swasta.
Jika, keluarga pesakit yang berkemampuan tidak mengapa, tetapi jika ia melibatkan keluarga berpendapatan rendah dan miskin ia adalah satu kes penganiayaan.
“Memang benar pesakit-pesakit boleh meminta dana awam tetapi mengapa perlu membebankan keluarga-keluarga yang miskin dan berpendapatan rendah jika hospital kerajaan mampu memberi rawatan terbaik dan mengenakan caj yang munasabah,” jelasnya.
Rahimi berkata, keluarga pesakit-pesakit jantung yang mendapat rawatan di hospital perlu berhati-hati dengan perkara ini dan menasihatkan keluarga pesakit sentiasa mendapatkan pandangan daripada hospital dan doktor lain sebelum membuat sebarang keputusan.
Logiknya pun, tidak mungkin seseorang pesakit yang perlu diberi rawatan segera perlu menunggu giliran jika keadaan terdesak.
Ini kerana rawatan di mana-mana hospital dan IJN juga ada pelbagai kategori iaitu “rawatan segera, semi segera dan super segera” – bergantung kepada keperluan pesakit.
“Percayalah, Malaysia mempunyai pakar-pakar perubatan terbaik dan sudah tentu mereka tahu apa yang terbaik untuk pesakit-pesakit mereka,” ujarnya. – Malaysia
Comments are closed.