KUALA LUMPUR – Yayasan MyPrihatin mendakwa tindakan keluarga pesakit jantung mendapatkan sumbangan awam menjadi antara punca berlakunya penyalahgunaan kutipan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Dakwaan itu berdasarkan beberapa siasatan dalaman yang dilakukan oleh yayasan berkenaan terhadap kisah-kisah pesakit jantung yang diviralkan melalui media sosial
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyPrihatin, Rahimi Abd Karim berkata, dalam siasatan dan pemantauan yang dilakukan mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan gambar-gambar pesakit jantung, khususnya kanak-kanak dan kisah mereka untuk mendapatkan sumbangan awam.
Tetapi nombor akaun bank yang digunakan untuk mengutip dana orang awam adalah sama.
Ia bermakna, katanya, ada individu-individu yang mengambil kesempatan terhadap pesakit-pesakit jantung yang sebelum ini telah memohon bantuan awam untuk ‘poket’ sendiri.
“Kita pernah mendedahkan isu ini melalui Facebook MyPrihatin dengan harapan orang ramai tidak tertipu dengan mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Perkara-perkara ini berlaku dan berleluasa kerana sikap rakyat Malaysia yang memang prihatin dengan kesusahan orang lain. Sikap ini baik, cuma perlu berhati-hati,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau khuatir jika penyalahgunaan ini berleluasa ia akan menyukarkan pesakit atau keluarga pesakit yang memerlukan bantuan awam bagi kes-kes yang betul dan kecemasan.
Oleh itu, Rahimi meminta orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan supaya meneliti akaun, nama penerima dan nama pesakit dengan teliti.
Adalah lebih baik, jika mereka rujuk nama pesakit di hospital-hospital yang dinyatakan.
Semalam Rahimi meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyiasat tindakan segelintir doktor hospital awam yang mengesyorkan pesakit-pesakit jantung terutama dalam kalangan kanak-kanak supaya mendapatkan rawatan dan pembedahan di hospital swasta dengan alasan ia lebih cepat.
Baca: Siasat doktor kerajaan promosi rawatan jantung di hospital swasta
Walaupun menyedarikan kos rawatan dan perubatan jauh lebih tinggi daripada hospital kerajaan namun cadangan itu dibuat dengan pandangan keluarga pesakit daripada keluarga golongan miskin atau berpendapatan rendah boleh mendapatkan sumbangan awam.
Yayasan MyPrihatin kini bersama-sama Institut Jantung Negara Foundation membantu keperluan pesakit-pesakit jantung sebelum, semasa dan selepas mendapatkan rawatan dan pembedahan di hospital kerajaan dan IJN.
Bantuan itu termasuk membantu pesakit semasa proses kemasukan ke wad, memantau keperluan keluarga ketika pesakit berada di wad dan urusan-urusan susulan selepas rawatan atau pembedahan pesakit.
“Biasanya keluarga pesakit terutama ibu atau bapa akan menunggu pesakit yang sedang mendapatkan rawatan. Bagi golongan yang kurang berada mereka akan tidur di tepi-tepi wad.
“Ada kes yang mana ibu dan bapa mereka membeli mee goreng berharga RM2 untuk dikongsi berdua. Separuh dimakan pada waktu pagi, separuh untuk malam. Kalau anda sendiri tengok memang boleh menitik air mata. Jadi MyPrihatin memantau kes-kes sebegini.
“Kita akan tanggung kos bilik yang disediakan IJN dengan bayaran yang cukup munasabah. Makan, minum keluarga miskin ini kami jaga. Mereka ini kebanyakan bekerja sendiri. Ada kerja ada gaji. Apabila anak mereka dirawat, mereka tidak bekerja, terpaksa berminggu-minggu dan kadangkala berbulan-bulan di wad.
“Selepas rawatan pula, MyPrihatin akan memastikan pesakit dibawa oleh keluarga untuk susulan termasuk menangung kos perjalanan mereka,” kata Rahimi yang memberitahu ada keluarga pesakit jantung yang tidak mendapat rawatan selama lapan tahun kerana tidak mampu untuk ulang-alik ke IJN.
Sehubungan itu, Rahimi berkata, orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan boleh berbuat demikian kepada Yayasan MyPrihatin.
Sumbangan tertakluk kepada individu dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Yayasan MyPrihatian di talian 03-2858 7637 atau di alamat B-25-2 Jalan Danau Lumayan, Dana Lumayan Business Park, Bandar Sri Permaisuri Cheras. – MalaysiaGazette