Home Utama Pengarang kanan Sinchew Daily bidas Guan Eng

Pengarang kanan Sinchew Daily bidas Guan Eng

LIM GUAN ENG
PETALING JAYA – Akhbar berbahasa Cina, Sinchew Daily membidas Ketua Menteri Pulang Pinang, Lim Guan Eng sekaligus melanjutkan ‘perang sastera’ antara dua pihak itu.

Selepas setiausaha akhbar Guan Eng mengkritik Sinchew Daily kerana tidak menyiarkan satu kenyataan bertulis Guan Eng, akhbar itu pada Khamis lalu telah melancarkan serangan balas melalui artikel bertajuk “Sinchew Daily bukan milik perseorangan”.

Guan Eng sebelum ini juga tidak berpuas hati apabila berita mengenainya disiarkan dalam berita wilayah dan bukannya edisi kebangsaan.

Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sinchew Daily, Tay Ting Yan dalam artikelnya menyatakan bahawa Sinchew Daily bukan Buletin Mutiara yang diterbitkan kerajaan Pulau Pinang.

“Guan Eng kadang-kala mengeluarkan lebih daripada satu kenyataan sehari dan jika ia ditambahkan dengan sidang akhbar, maka ia memang membebankan.

“Untuk mengelakkan terlepas kenyataan Guan Eng, maka adalah harus untuk meletak dua atau tiga pengarang yang bertanggungjawab secara khusus kepada kenyataan Guan Eng pada syif pagi dan malam.

“Pasukan wartawan Guan Eng antara tiga hingga empat orang serta pasukan jurufoto Guan Eng antara dua hingga tiga orang juga perlu diwujudkan bagi mengelakkan berita Guan Eng terlepas,” tulis pengarang kanan itu.

Ting Yan juga menjelaskan bahawa kenyataan Guan Eng mendesak Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak disiarkan kerana ia bukan benda baharu.

“Sebelum ini Guan Eng sudah mendesak Tiong Lai meletak jawatan dalam konvensyen tahunan DAP.

“Kami tidak perlu menghitung desakan sama yang dibuat lebih awal,” katanya.

Ting Yan berkata, berita mengenai upacara perasmian oleh Guan Eng di Komtar, Pulau Pinang tidak disiarkan di berita nasional tetapi hanya di segmen wilayah kerana ia adalah berita tentang aktiviti berhibur dan membeli-belah yang tidak menyentuh kepentingan rakyat jelata negara ini.

“Kerana terkurang menyiarkan satu kenyataan, Guan Eng murka dan mengadakan sidang akhbar untuk membidas Sinchew Daily.

“Selepas itu, beliau menghantarkan surat untuk menyatakan dosa-dosa Sinchew Daily,” kata Ting Yan.