KUALA LUMPUR – Seorang pemilik restoran makanan ikan air tawar dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan mengemukakan invois penjualan makanan palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Kamarul Ariffin Hamzah, 40, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Shamsudin Abdullah.
Mengikut kesemua pertuduhan, Kamarul Ariffin selaku pemilik Exotic Fish River Restaurant itu didakwa mengemukakan invois palsu kepada penolong pengarah KPDNKK di Bahagian Penguat Kuasa, Aras 2, KPDNKK, Persiaran Perdana, Putrajaya pada 25 Nov 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen 26 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57(b) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Abu Hanipah menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 untuk kesemua pertuduhan, bagaimanapun peguam A.Ravikumar yang mewakili Kamarul Ariffin memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya yang menghidap penyakit kencing manis kronik adalah penanggung tunggal keluarga.
Peguam itu berkata, ketika ini pendapatan hasil perniagaan anak guamnya juga tidak menentu.
Bagaimanapun hakim memutuskan untuk tidak mengenakan sebarang jaminan terhadap Kamarul Ariffin dan menetapkan 5 Januari bagi sebutan semula kes. – BERNAMA