Home Nasional MRT: Najib jemput orang ramai beri maklum balas

MRT: Najib jemput orang ramai beri maklum balas

Orang ramai yang mengambil peluang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari pertama operasi di Stesen Pusat Bandar Damansara dan Stesen Sungai Buloh, Selangor. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 16 DISEMBER 2016.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjemput orang ramai memberi maklum balas terhadap perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang (SBK) fasa satu yang baru dilancarkan.

“Dah 10 hari MRT beroperasi, macam mana, siapa dah naik? Boleh beri maklum balas kepada @MRTMalaysia kalau ada apa-apa cadangan dan pendapat,” tulis Najib dalam catatan di laman rasmi Facebook beliau malam tadi.

Beliau turut berkongsi beberapa keping gambar memaparkan para penumpang menggunakan perkhidmatan MRT dan bas perantara percuma selama sebulan sehingga 16 Januari depan.

Laluan fasa pertama MRT melibatkan 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan dengan jarak sejauh 21 kilometer itu mula beroperasi 16 Dis lepas.

Ia meliputi stesen Sungai Buloh; Kampung Selamat; Kwasa Damansara; Kwasa Sentral; Kota Damansara; Surian; Mutiara Damansara; Bandar Utama; Taman Tun Dr Ismail; Phileo Damansara; Pusat Bandar Damansara and Semantan.

— BERNAMA