Home Nasional Jamal kunjung PTD Sabak Bernam bawa dokumen aktiviti haram

Jamal kunjung PTD Sabak Bernam bawa dokumen aktiviti haram

Jamal Md. Yunus

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus hari ini, mengunjungi Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam untuk mendapatkan penjelasan berhubung status beberapa tanah di sekitar daerah itu, yang dikatakan meragukan.

Dalam kunjungan itu, beliau turut mengadakan pertemuan ringkas dengan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Khairuddin Md. Som dan menyerahkan laporan yang mengandungi aktiviti judi tidak berlesen, tanah serta premis didiami secara haram.

Pada sidang media selepas itu, Jamal berkata, beliau meminta pihak berkenaan mengambil tindakan tegas ke atas aduannya itu dan tidak perlu bertangguh-tangguh untuk bertindak.

“Saya mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan pantas, sepantas mereka menyita dan merobohkan resort saya, Sekin Fisherman Village @ Resort minggu lepas,” katanya.

Mengenai pertemuan itu, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia berkata, beliau mengambil sikap prihatin untuk membantu PTD Sabak Bernam mengesan mana-mana pihak yang menduduki dan membangunkan premis tanpa kebenaran atau lessen sah.

Katanya, memang ada aktiviti haram itu, tetapi PTD Sabak Bernam lambat bertindak.

“Jadi, saya ambil inisiatif itu untuk membantu PTD,” katanya.

Pada Khamis minggu lalu, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menghantar notis perintah menutup Sekin Fisherman Village Hotel & Resort dan serta merta merobohkan premis berkenaan.

Notis bertarikh 22 Disember itu, antara lain menyebut pemiliknya telah menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa melesen mengikut UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Hotel MDSB, 2013.

Notis itu juga menyebut, dalam pemeriksaan dilakukan MDSB, mendapati Jamal telah melakukan kesalahan tersebut di atas Lot 13081, 13082 dan 13083 Jalan Pantai Redang, Sekinchan. – MalaysiaGazette