Home Nasional APMM mohon bantuan Thailand kesan 2 remaja hilang di laut

APMM mohon bantuan Thailand kesan 2 remaja hilang di laut

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memohon kerjasama pihak berkuasa Thailand untuk mengesan dua remaja yang hilang dikhuatiri lemas di Pantai Tok Bali di sini, Ahad lepas.

Pengarah APMM Daerah Maritim 10 Tok Bali, Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata, operasi mencari yang memasuki hari kelima hari ini, masih gagal menemui dua remaja tersebut.

Bantuan daripada pihak berkuasa Thailand diperlukan kerana dibimbangi remaja terbabit dihanyutkan ke perairan negara tersebut, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari hari ini, melibatkan aset udara, laut dan darat dipergiatkan walaupun laut bergelora berikutan musim tengkujuh.

Katanya, 118 anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan terbabit dalam operasi mencari dua remaja berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Hussin Abdul Rahman berkata, sebuah helikopter bomba dan unit pengesan anjing telah dipohon dari ibu pejabat di Putrajaya.

Dalam kejadian 4.13 petang itu, dua remaja dikenali sebagai Ahmad Haziem Anizam, 14, dan rakannya, Amir Azfa Rafar, 13, masing-masing dari Selising di sini, dikhuatiri lemas ketika sedang mandi di Pantai Tok Bali.

Dua rakan mereka Muhammad Firdaus Mustafa, 16, dari Kampung Taweh, Gaal di sini, dan Amir Shahir Zakima, 13, dari Kampung Nering di sini, sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.

Kesemua mereka datang ke pantai itu untuk berkelah dan mandi-manda sebelum kejadian itu berlaku berikutan ombak besar. – Bernama