KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan didakwa dalam skandal penyelewengan dana infrastruktur Jabatan Air Sabah.
Beliau berkata siasatan keseluruhan kes itu kini di peringkat akhir dan pihaknya juga sedang berbincang dengan timbalan pendakwa raya bagi mendakwa individu lain yang dikenal pasti terlibat.
“Kes ini (kes pertama didakwa di mahkamah) adalah berhubung dengan penemuan wang sebegitu besar. Oleh itu, kita menghadapkan tiga orang tertuduh di mahkamah pada hari ini.
“Saya boleh katakan siasatan ke atas kes ini (yang dibawa ke mahkamah pada hari ini) adalah cepat disiapkan. Tetapi terdapat beberapa kes lagi itu, kami akan merujuk dengan timbalan pendakwa raya.
“Saya meminta semua pihak sabar dan jangan membuat sebarang spekulasi dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bekas pengarah Jabatan Air Sabah dan dua lagi individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Azam juga mengesahkan tiada orang kenamaan yang akan dituduh di mahkamah membabitkan kes itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan keseluruhan kes berkenaan akan melihat kepada permasalahan air di Sabah yang antara lain membabitkan pengendalian projek dan kerja-kerja penyelenggaraan di bawah jabatan itu.
“Kerajaan negeri memberi kerjasama yang baik kepada SPRM untuk mengatasi masalah ini berdasarkan kepada siasatan kes,” katanya.
Bekas pengarah Jabatan Air Sabah Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 54, bersama isteri Fauziah Piut, 51, serta penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Negeri Lim Lam Beng, 62, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini.
Mereka mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan menyeleweng dana infrastruktur berjumlah RM61.48 juta dalam bentuk tunai dan simpanan bank serta memiliki barangan berjenama mewah secara menyalahi undang-undang.
— BERNAMA