JAKARTA – Citilink Airlines, syarikat penerbangan tambang murah Indonesia sedang menyiasat seorang juruterbangnya yang dilaporkan bertugas ketika dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol.
Juruterbang, yang dikenal pasti sebagai Kapten Tekad Purna, telah menangguhkan penerbangan dari Surabaya ke Jakarta, lebih satu jam pada Rabu lalu selepas dia tiba lewat.
Keadaan beliau itu disedari penumpang selepas butiran percakapannya tidak jelas ketika membuat pengumuman dalam pesawat.
Naib Presiden Komunikasi Korporat Citilink, Benny Butarbutar berkata, pesawat itu sepatutnya berlepas 5 pagi, hanya tertangguh sehingga pukul 6.20 pagi.
Pihak pengurusan mengeluarkan juruterbang itu selepas penumpang membuat aduan tentang pengumuman yang dibuat tidak jelas sebelum pesawat berlepas kerana mengesyaki Tekad mabuk.
Selepas kejadian itu sembilan penumpang memutuskan untuk membatalkan penerbangan mereka.
Bagaimanapun, pihak pengurusan bertindak segera dengan menggantikan jurutebang lain.
Juruterbang itu dibawa ke klinik dalam lapangan terbang untuk pemeriksaan kesihatan dan disyaki mabuk ketika bertugas, kata Butarbutar.
Semasa kejadian, pesawat itu membawa 154 penumpang dan anak kapal. Pesawat itu dilaporkan selamat mendarat pada pagi Rabu. – MalaysiaGazette