Home Nasional Pas alu-alukan gencatan senjata di Syria

Pas alu-alukan gencatan senjata di Syria

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas mengalu-alukan proses gencatan senjata yang dipersetujui dalam kalangan pihak bertempur di Syria.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, secara umumnya Pas melihat keadaan yang tegang dan berdarah di bumi Syria sememangnya perlu dihentikan segera.

Katanya, kesejahteraan rakyat awam perlu dikembalikan dan sebarang cubaan provokasi jahat untuk menggagalkan gencatan itu mesti dihalang, terutama pada masa yang sangat kritikal ini.

“Formula ini antara syarat awal dalam memastikan gencatan ini dapat dipertahankan.

“Apabila keadaan keselamatan lebih terpelihara, baharulah isu berkaitan dengan kezaliman dan pembunuhan ketika tragedi berdarah itu berlaku mesti disiasat dan diambil langkah konstruktif bersesuaian dengan protokol undang-undang yang diterima di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Media antarabangsa hari ini melaporkan, gencatan senjata seluruh Syria ditaja Rusia dan Turki yang menyokong kedua-dua pihak bertelagah, bermula tengah malam tadi (waktu tempatan) yang disifatkan tindakan terakhir bagi menamatkan perang saudara yang berlarutan hampir enam tahun itu.

Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang menjadi penyokong utama kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad, mengumumkan gencatan senjata itu pada Khamis selepas mendapat persetujuan bersama Turki yang sekian lama menyokong pembangkang.

Pemerhati dan pegawai kumpulan pemberontak melaporkan pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak di sempadan wilayah Idlib dan Hama masih berlaku serta berbalas tembakan di kawasan terpencil di sebelah selatan kira-kira dua jam sebelum gencatan berkuatkuasa.

Menurut Abdul Hadi, umat Islam juga mesti cermat memahami bahawa apa yang berlaku adalah campur tangan strategik kuasa besar dunia untuk mewujudkan ketidakstabilan di bumi Syria sebagai tindakan menjaga kepentingan keselamatan Israel di rantau itu.

Ujar belilau, maklumat risikan rekacipta dan propaganda media negara kuasa besar itu telah diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam.

“Negara-negara Arab dipergunakan sebagai proksi dengan cagaran mempertahankan takhta kerajaan masing-masing sebagai umpan dan seterusnya ditiupkan adu domba api peperangan Sunni-Syiah.

“Percaturan kompleks geo-politik sebegini memerlukan kefahaman dalam kalangan umat Islam supaya tidak dikelirukan oleh agenda zionis dan kepentingan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette