Home Nasional Mangsa banjir di Kelantan meningkat 1,284 orang

Mangsa banjir di Kelantan meningkat 1,284 orang

Gambar hiasan

KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,284 orang daripada 346 keluarga pada pukul 8 pagi ini berbanding 1,213 orang daripada 329 keluarga pukul 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, setakat ini terdapat 510 mangsa daripada 132 keluarga di Kuala Krai, 36 mangsa (14 keluarga) di Jeli 312 mangsa (91 keluarga) di Tanah Merah, 347 mangsa (91 keluarga) di Pasir Mas dan 79 mangsa (18 keluarga) di Machang.

“Kesemua mangsa ditempatkan di 30 pusat pemindahan di lima jajahan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah itu dijangka meningkat tengah hari ini terutama di Pasir Mas dan Tumpat selepas air sungai dari hulu sampai ke jajahan berkenaan ketika ini.

Sementara itu, menurut laman sesawang kerajaan negeri, ebanjir.kelantan.gov.my, tiga sungai utama di Kelantan terus menunjukkan penurunan paras air pada pukul 8 pagi ini berbanding 8 malam tadi.

Sungai Galas di Dabong turun kepada 32.56 meter (m) berbanding 34.33 meter (m) malam tadi. Paras bahaya bagi sungai itu adalah 38m.

Sungai Lebir di Tualang pula berada di paras 28.26m berbanding 30.74m (paras amaran 35m) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai pula pada paras 22.24m berbanding 24.06m (paras amaran 25m).

Bagaimanapun, air Sungai Golok di Rantau Panjang terus meningkat ke paras 10.19m berbanding 9.58m berbanding malam tadi, melepasi paras bahaya 9m.–MalaysiaGazette