KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik pada tahun 2017 selepas melalui laluan sukar pada tahun lalu akibat ketidaktentuan global.
Kelembapan dalam aktiviti perdagangan global digabungkan dengan ketidaktentuan daripada pelbagai dasar dan keputusan referendum Britain dan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) menyebabkan tahun 2016 menjadi sangat mencabar bagi ekonomi-ekonomi negara pesat membangun.
Meskipun begitu, Malaysia diramal kekal berdaya saing dengan unjuran pertumbuhan 4.3 peratus pada tahun ini berbanding jangkaan 4.1 peratus pada 2016.
Keyakinan itu dipacu oleh aktiviti perdagangan global telah meningkat pada bulan November tahun ini dan momentum yang sama dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga suku pertama tahun 2017.
Kedua, harga komoditi itu dijangka lebih tinggi berbanding tahun lalu, sekurang-kurangnya pada harga purata.
“Ini harus menjadi berita baik untuk syarikat-syarikat minyak dan gas serta kerjaan kerana ini akhirnya akan membawa kepada keadaan pasaran kerja yang lebih baik,” kata firma penyelidikan itu di sini hari ini.
Walaupun pengguna boleh merasai tekanan daripada kenaikan harga pam tetapi kerajaan sebelum ini pernah mencadangkan satu sistem subsidi bersasar bagi bahan api untuk kumpulan B40.
“Kami percaya jika Kerajaan berjaya mendapatkan kutipan cukai pendapatan yang lebih tinggi, kemungkinan sistem itu akan dapat dilaksanakan,” tambahnya.
Bagaimanapun, terdapat beberapa isu utama yang perlu diberi fokus pada tahun ini iaitu pelantikan Donald Trump sebagai Presiden AS.
Segala hala tuju dan dasar beliau akan memberi kesan bukan sahaja ekonomi global, tetapi juga hubungan geopolitik.
Kedua, kewangan global masa depan yang akan ditetapkan oleh Rizab Persekutuan juga perlu diberi perhatian kerana ramalan pada tahun lalu ia akan meningkatkan kadar faedah sebanyak empat kali tetapi sehingga akhir tahun 2016 hanya ada satu kenaikan pada bulan Disember.
Jadi kemungkinan pada tahun ini berlaku tiga kenaikan.
MIDF Investment berkata, kenaikan kadar yang lebih tinggi oleh Amerika Syarikat akan memberi risiko aliran keluar daripada pasaran baru muncul termasuk Malaysia yang akan menjejaskan ekuiti, bon dan mata wang ringgit.
Ketiga di zon Euro akan berlaku beberapa pilihan raya tahun ini.
Kemungkinan pihak sayap kanan yang memenangi pilihan raya ini akan memperjuangkan untyk keluar daripada Kesatuan Eropah.
Secara ringkas, kemungkinan sekali lagi negara mengalami tempoh mencabar pada tahun ini, tetapi harapan yang lebih baik masih ada.
MIDF Investment mengunjurkan Kadar Asas Semalaman akan dikurangkan sekali lagi pada tahun ini oleh Bank Negara Malaysia, inflasi lebih tinggi kepada 2.8 peratus disebabkan kenaikan harga petrol dan purata harga minyak dunia berlegar AS$50 setong. – MalaysiaGazette