PASIR MAS – Seorang kanak-kanak perempuan lemas selepas tergelincir dalam tali air di Kampung Bemban, Kangkong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Ibrahim Saad berkata dalam kejadian 4.45 petang itu, Aumuni Abdul Rahman, 8, bersama ibunya, Zarina Seman, 35, ke tali air tersebut untuk melihat air sebelum mangsa tergelincir ke dalam tali air itu.
“Ibunya yang melihat kejadian itu segera meminta pertolongan penduduk untuk menyelamatkan anaknya dan mangsa ditemukan lemas berdekatan tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, Rabu
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas di sini, untuk bedah siasat.
Sementara itu, di TUMPAT, operasi mencari seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Kelantan di Kampung Laut semalam, masih diteruskan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata operasi mencari itu melibatkan anggota pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Persatuan Nelayan Kampung Laut.
Katanya pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan remaja itu, Wan Rostam Danaeil Wan Roszan pada 5.34 petang semalam. – MalaysiaGazette