Home Nasional KPI lebih 100 peratus tapi persepsi terhadap KDN sama

KPI lebih 100 peratus tapi persepsi terhadap KDN sama

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA- Walaupun kadar Indeks Prestasi Utama (KPI) Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah melebihi 100 peratus namun persepsi masyarakat terhadap penyampaian kementerian dalam segala aspek dilihat masih tidak berubah.

“Apabila indeks jenayah turun, persepsi masyarakat tidak setaraf dengan penurunan indeks itu yang mana tanggapan mereka terhadap pencapaian KDN masih tidak berubah,”

“Maka, persepsi inilah yang kita perlu ubah dengan semangat berpasukan yang tinggi,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri semasa melancarkan Misi Bantuan Rela Bencana Banjir dan Penyerahan Dokumen Perancangan Strategik KDN 2017 di sini hari ini.

Justeru, Ahmad Zahid mahu KPI bagi KDN tahun ini mencapai 138 peratus melibatkan 38 aspek yang ditetapkan bagi tahun ini berbanding 12 aspek sahaja sebelum ini.

Menurutnya, pencapaian KPI sebanyak 123 peratus sehingga pertengahan Disember tahun lepas perlu diperbaiki ke tahap lebih tinggi.

“Saya harap tahap 138 peratus dalam 38 KPI yang ditetapkan tahun ini dan jangan menganggap ia sebagai bebanan semata-mata sebaliknya terima ia sebagai satu kebertanggungjawaban bersama,” katanya lagi.

Pada majlis yang sama, warga KDN meraikan ulang tahun kelahiran Ahmad Zahid dengan memotong pulut kuning.

Turut hadir ialah timbalannya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta Ketua Pengarah Angkatan Sukarelawan, Datuk Kamariah Mohd. Noah.

Dalam isu yang sama, Ahmad Zahid berkata, kebertanggungjawaban dalam memartabatkan tahap pencapaian KDN tidak hanya terletak di bahu seorang pemimpin semata-mata.

Malah katanya, semangat juang sepasukan yang tinggi dalam kalangan lapan agensi atau jabatan di bawah KDN memikul amanah dan kebertanggungjawaban untuk mencapai misi tersebut.

“Kita perlu sedar bahawa dengan adanya lapan agensi di bawah, KDN diletakkan barisan paling hadapan di negara ini.

“Oleh demikian setiap agensi dan pemimpin di kementerian ini memainkan peranan penting menakhodai kepimpinan sesebuah organisasi supaya mencapai tahap terbaik yang perlu diingati selalu,” tegasnya. – MalaysiaGazette