Umur bukan penghalang bagi Janet Jackson untuk menimang cahaya mata biarpun dirinya semakin berusia.
Kelmarin, penyanyi popular Hollywood itu selamat melahirkan bayi sulung pada usia 50 tahun.
Menurut jurucakap penyanyi itu, Janet melahirkan seorang bayi lelaki dan diberi nama, Eissa Al Mana.
“Janet Jackson dan suami Wissam Al Mana begitu teruja menyambut kelahiran bayi mereka.
“Janet tidak mengalami masalah semasa melahirkan dan sedang berehat sekarang,” katanya seperti dilapor US Magazine.
Janet dilaporkan menganut Islam selepas berkahwin dengan bilionair Wissam Al Mana pada tahun 2012 dalam sebuah majlis yang dirahsiakan daripada umum.
Ia adalah perkahwinan ketiga Janet selepas James deBarge (1984) dan Rene Elizondo (1991).
Kisah kehamilan Janet pula mulai dihidu wartawan pada Mei lalu apabila konsert Jelajah Unbreakable World yang sepatutnya berlangsung ditangguhkan secara tiba-tiba.
Pada ketika itu Janet dalam sebuah kenyataan di Facebook hanya memberikan alasan masanya sudah tiba untuk memulakan kehidupan berkeluarga.
“Suami dan saya sedang merancang untuk memulakan kehidupan berkeluarga dan terpaksa menangguhkan konsert berkenaan.
“Maaf, jika anda semua mampu memahami, ia benar-benar penting untuk saya melakukan perkara ini sekarang. Saya perlu berehat atas arahan doktor tetapi tidak akan melupakan anda,” katanya.
Menurut Janet, konsert Jelajah Unbreakable World itu akan diteruskan apabila segala urusan selesai.
Selama beberapa bulan penyanyi R&B itu cuba merahsiakan mengenai kehamilannya daripada umum.
Namun, pada September lalu, gambar yang memperlihatkan perutnya sarat mengandung dirakam oleh jurugambar ketika sedang membeli-belah peralatan bayi di London.
Bulan lalu, pemenang Anugerah Grammy sebanyak lima kali itu buat pertama kali mendedahkan kehamilannya kepada peminatnya di media sosial.-MalaysiaGazette