Kit Siang berkata buat masa ini beliau tidak mengetahui sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Gelang Patah yang diwakilinya atau bertanding di kawasan lain.
“Keputusan untuk bertanding di kerusi dan kawasan mana akan ditentukan oleh pucuk pimpinan DAP. Saya masih menunggu keputusan parti untuk menentukan di mana saya harus bertanding dalam pilihan raya umum ke-14,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Anggota Parlimen Gelang Patah itu juga enggan mengulas sama ada akan bertanding di Pulau Pinang, di mana anaknya Lim Guan Eng adalah ketua menteri.
Ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkemungkinan akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, Lim bertanya, “Adakah itu betul atau hanya khabar angin?”
Lim mula dipilih sebagai wakil rakyat pada 1969 selepas memenangi kerusi Parlimen Bandar Melaka dan sejak itu, beliau bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur dan Johor.
— BERNAMA