Home Nasional Noh berang pemilik rumah pangsapuri tidak jaga kebersihan

Noh berang pemilik rumah pangsapuri tidak jaga kebersihan

Menteri Kesejahteraan Bandar dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar meninjau keadaan flat di Pangsapuri Sri Nipah di Subang Jaya pagi tadi.Pix ihsan FB Noh Omar.

SUBANG JAYA – “Kalau saya tidak bertindak tegas, macam inilah jadinya. Kotor dan terbiar,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Beliau kecewa dan sedih dengan sikap pemilik rumah di pangsapuri yang memberi sewa kediaman berkenaan sehingga keadaan itu berlaku.

“Mereka membiarkan penyewa berbuat apa sahaja di situ seperti membuang sampah ditempat tidak sepatutnya, membiarkan air buangan melimpah dan busuk serta berlaku aktiviti vandalism.

“Selepas membuat tinjauan di pangsapuri ini, saya dapati banyak kemudahan yang kita sediakan dalam keadaan terbiar dan rosak,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangsapuri Seri Nipah, Taman Pinggiran USJ, di Subang Jaya, hari ini.

Noh berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya menghantar tuntutan notis kepada pemilik rumah berkenaan mengenai kesalahan mereka memberi sewa kediaman itu kepada orang lain.

Katanya, pemilik berkenaan sepatutnya tinggal di situ kerana pangsapuri itu adalah salah satu projek perumahan untuk rakyat termiskin memiliki kediaman, bukan memberi sewa.

Menurut beliau, selain keadaan pangsapuri itu terbiar dan kotor, penyewa juga didapati gagal membayar kos penyelenggaran bulanan seperti ditetapkan dan dipersetujui pemilik rumah.

“Keadaan ini menyebabkan berlaku tunggakan yang besar dan pihak yang diberi tanggungjawab menyenggara pangsapuri berkenaan tidak mempunyai kos mencukupi untuk membaiki kemudahan yang rosak,” katanya.

Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor menjelaskan, mulai sekarang juga beliau membuat ketetapan agar pemilik rumah yang tidak tinggal di situ perlu membayar kos penyenggaraan, bukan penyewa.

“Mereka hanya perlu membayar RM38.50 sahaja dan jumlah tunggakan bagi setiap rumah pula mencecah hampir RM2,000. Mereka boleh selesaikan masalah kalau mereka bayar, tapi masalahnya tuan punya badan tak duduk di sini.

“Akibatnya kita lihat sampah tak terurus, kebajikan tak terurus, lif tak boleh guna. Air yang dipotong mereka sambung sendiri, ini masalah yang kita hadapi,” ujarnya. – MalaysiaGazette