KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mahu golongan pelajar merebut peluang mencapai tahap pendidikan tinggi bagi meningkatkan pendapatan dan memperbaiki kehidupan.
Perdana Menteri berkata, meskipun Malaysia mempunyai golongan terpelajar tetapi masih ramai yang tidak melanjutkan pengajian di peringkat menara gading.
Jadi, golongan itu paling terdedah kepada peningkatan kos sara hidup kerana tidak berpendapatan tinggi.
“Kebanyakan mereka turut mengalami masalah sumber kewangan dan juga kurang kesedaran tentang kepentingan melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.
“Kerana itulah, kerajaan memberikan pelbagai bantuan kewangan untuk rakyat melanjutkan pelajaran,” kata Najib dalam blognya hari ini.
Menurut beliau, secara amnya, kerajaan menanggung 90 peratus kos pendidikan dan pelajar cuma hanya perlu membayar 10 peratus sahaja untuk melanjutkan pendidikan di peringkat tinggi.
Bagi golongan berpendapatan rendah, kerajaan menyediakan banyak pembiayaan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi seperti Bantuan Kewangan Asasi, Tabung Pinjaman Pelajaran, Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti dan Bantuan Kewangan OKU dan sebagainya.
Di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, kerajaan menyediakan pembiayaan untuk semua golongan tidak kira tahap pendapatan seperti MyBrainSc, Sub-Kepakaran/Post-Doktoral dan banyak lagi.
“Banyak bantuan yang telah dihulurkan oleh Kerajaan untuk membantu anak muda kita melanjutkan pelajaran.
“Untuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, kerajaan sebenarnya menjelajah seluruh negara mencari mereka untuk dimasukkan ke universiti melalui program seperti “Mengubah Destini Anak Bangsa”,” tambah Najib.
Sehubungan itu, Najib mahu golongan-golongan pelajar mendapatkan bantuan-bantuan tersebut agar terus merebut peluang meningkatkan tahap pendidikan, sekali gus mendapat pendapatan yang lebih besar dan meningkatkan taraf hidup. – MalaysiaGazette