SHAH ALAM – Perhubungan UMNO Selangor melihat pelantikan Datuk Saifudin Nasution Ismail sebagai Penasihat Strategik Kerajaan Negeri Pulau Pinang oleh Ketua Menterinya, Lim Guan Eng, sebagai terdesak.
Setiausahanya, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, DAP mempunyai ramai pemimpin dan ahli yang berwibawa, tetapi mustahil tidak ada seorang pun dalam kalangan mereka layak diberi jawatan itu.
Katanya, apa yang dilakukan oleh Guan Eng ketika ini ialah jelas memperlihatkan beliau dalam keadaan tertekan dan terdesak sehingga terpaksa mengambil pemimpin dari PKR untuk menjadi tukang fikir bagi pihaknya.
“PKR Selangor sendiri pun dalam keadaan terumbang-ambing tidak menentu, inikan pula Setiausaha Agungnya diambil bekerja oleh DAP,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Johan mengulas tindakan Guan Eng melantik Saifudin Nasution sebagai Penasihat Strategik Kerajaan Pulau Pinang Khamis lalu.
Dengan pelantikan itu, Saifudin ini menjadi milik penuh DAP, dan perlu menumpukan segala perhatiannya kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.
Kata Johan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, secara peribadi beliau melihat nyawa kerajaan DAP Pulau Pinang sudah berada dihujung tanduk dan sanggup menawarkan sejumlah gaji kepada pakar strategi untuk bekerja dengannya.
“Apa yang berlaku ini jelas menampakkan kepincangan, di mana persoalan timbul mengapa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak melantik Saifudin sebagai penasihat di negeri ini.
“Banyak kepincangan berlaku di Selangor, dalam tadbir urus terutama isu kepentingan rakyat seperti air, rumah dan sebagainya. Sepatutnya Saifuddin menjadi penasihat kepada Azmin kerana kerajaan negeri Selangor ditadbir urus oleh PKR.
“Apa yang saya lihat seolah-olah berlaku perselisihan faham antara mereka dan tindakan ini seolah-olah satu tindakan terdesak yang lebih kepada kepentingan peribadi, namun itu hak parti masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette