Laporan baharu mendakwa kapal yang mencari pesawat MH370 milik Malaysia Airlines telah berpindah ke lokasi baharu pada hari-hari terakhir pencarian pesawat itu.
The Daily Beast melaporkan kapal pencarian milik Belanda, Fugro Equator telah bergerak lebih 321 kilometer ke utara ke kawasan yang mana pakar-pakar mengenal pasti bahawa ia mungkin lokasi bangkai pesawat Boeing, B777.
Dr. Richard Cole, dari University College di London, mendakwa telah mengesan perubahan dalam misi pencarian itu pada penjejak setelitnya. Beliau telah mengikuti operasi pencarian secara terperinci.
Kapal Fugro Equator melakukan misi di kawasan pencarian biasa apabila tiba-tiba melencong ke utara.
Ia berlaku selepas Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), yang mengetuai misi pencarian, berkata dalam laporan minggu lalu bahawa pesawat tersebut hampir pasti tidak berada di zon pencarian sekarang dan mungkin berada di utara kawasan itu.
Dipercayai lokasi kemalangan mungkin berada antara latitut 32 hingga 36 darjah selatan. Kini Fugro Equator beroperasi berdekatan latitut 32 darjah selatan, lapor The Daily Beast.
Cole memberitahu The Daily Beast: “Pencarian Equator telah memasuki semula ke utara, jauh daripada kawasan asal yang dikenalpasti pada 2014 oleh Kumpulan Sains dan Teknologi Pertahanan Australia.
“Menggunakan sistem sonar, ia kini sedang memeriksa dasar laut yang tidak diimbas sebelum ini.
“Pencarian ini mempunyai baki masa yang terhad tetapi mereka sedang menyiasat dengan masa yang ada dengan mengimbas kawasan yang mereka percayai kemungkinan lokasi MH370,” katanya.
Pencarian pesawat MH370 yang hilang pada 2014 itu akan ditamatkan dalam tempoh dua minggu, kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Tiong Lai berkata, negara yang terlibat dalam pencarian itu, Malaysia, Australia dan China, perlu memutuskan sama ada mahu meneruskan operasi pencarian di kawasan lain.
Beliau berkata, keputusan sama ada mahu meneruskan atau tidak pencarian di kawasan yang melepasi 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi yang dilakukan kini akan dilaksanakan sebelum akhir Januari ini.
Pesawat yang dalam pernerbangan ke Beijing dengan 239 penumpang itu hilang selepas 40 minit berlepas dari Kuala Lumpur, dengan dakwaan seseorang telah mematikan sistem komunikasinya.
Setakat ini serpihan pesawat tersebut telah ditemui di Pulau Reunion, Mozambique, Mauritius, Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues milik Perancis.
Perancis telah membuka siasatan sendiri terhadap kehilangan pesawat itu kerana empat warganya merupakan antara 227 penumpang dan 12 anak kapal pesawat berkenaan. – MalaysiaGazette