Home Seni Hidup Kudien, Salma, Azizul ungguli 3 Juara

Kudien, Salma, Azizul ungguli 3 Juara

Tiga juara dari kiri Kudien, Salmah dan Azizul bergambar bersama hadiah kemenangan mereka berupa replika wang tunai 50,000 beserta trofi selepas dinobatkan sebagai juara dalam kategori Rock, Balada dan Irama Malaysia pada Malam Konsert Akhir 3 Juara di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 08 JANUARI 2017

SHAH ALAM- Debaran program realiti, 3 Juara semakin ke kemuncaknya apabila tiga pemenang untuk setiap kategori diumumkan pada malam konsert akhir di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini malam tadi.

Mereka adalah Kudien yang mewakili kategori Rock, bekas juara Mentor musim kelima, Salma menjuarai kategori Balada manakala kategori Irama Malaysia pula disandang Azizul.

Sebagai ganjaran, setiap daripada mereka menerima hadiah wang tunai RM50,000 manakala naib juara membawa pulang RM20,000.

Dengan kemenangan itu, Kudien, Salima dan Azizul mara ke peringkat Pentas Epik 3 minggu depan bagi merebut gelaran juara keseluruhan. Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM100,000.

Berbeza daripada konsep battle sebelum ini, semua peserta mempersembahkan sebuah lagu secara solo dan sebuah lagi dendangan secara battle.

Selain daripada konsep persembahan, tempoh undian penonton juga dilanjutkan dari jam 9 malam sehingga diumumkan tutup.

Persembahan setiap peserta dinilai juri tetap iaitu Datuk Rossa bagi kategori Balada, Awie (Rock) dan Noraniza Idris (Irama Malaysia).

Pada konsert akhir, penonton turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian artis jemputan, Datuk Ramli Sarip dan juga pengacara program terbabit iaitu Ammar, Issey dan Mira Filzah.

Disiarkan sejak 16 Oktober lalu, 3 Juara diperkenalkan bagi mencungkil bakat baharu sebagai pelapis kepada setiap kategori irama dipertandingkan.

Setiap kategori diwakili penerbit ternama tanah air iaitu Pak Ngah bagi Irama Malaysia, Edrie Hasim (Rock) dan Ajai (Balada). – MalaysiaGazette