Home Nasional Lebih 700 warga China terbabit kes tipu, judi dalam talian dihantar pulang

Lebih 700 warga China terbabit kes tipu, judi dalam talian dihantar pulang

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
BEIJING – Seramai 744 warga China telah dihantar kembali ke negara asal sejak beberapa tahun lepas kerana didapati terbabit dalam jenayah penipuan dan perjudian dalam talian yang membabitkan kira-kira 20 bilion RMB (kira-kira RM13 bilion).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata China amat berterima kasih dengan kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras sindiket yang berpangkalan di Malaysia, yang turut membabitkan rakyat China dan sebuah negara lain.

Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat yang berterusan antara pihak keselamatan Malaysia dan China, yang sering berbincang mengenai pelbagai isu berkaitan dengan jenayah merentas sempadan.

Menurutnya lawatan kerja ke China sejak 10 Jan lepas telah mencapai tujuan jemputan, di samping menyelesaikan beberapa isu berkaitan sistem operasi yang membabitkan kerugian cukup besar kepada rakyat China akibat aktiviti penipuan, di samping berkaitan ehwal keselamatan China.

“Terima kasih kerajaan China terhadap operasi PDRM dterjemahkan dengan beberapa tindakan bersama jangka sederhana dan panjang termasuk untuk mengambil beberapa tindakan dalam aktiviti yang berhubung dengan soal keselamatan dua negara,” katanya dalam satu persidangan media di sini hari ini.

Dalam kunjungan Ahmad Zahid ke China atas jemputan Menteri Keselamatan China Guo Shengkun ini, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Interpol Meng Hongwei, serta Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Pusat Parti Komunis China Meng Jianzhu.

Ahmad Zahid berkata beberapa kesepakatan dicapai khusus bagi memperluas tanggungjawab Pusat Serantau Memerangi Mesej yang dikendalikan oleh PDRM, bukan sahaja untuk kegunaan negara-negara ASEAN, tapi juga sebagai melakar jejak untuk turut membantu seluruh negara Asia.

Beliau berkata dengan bantuan peralatan dan teknologi China, pusat itu boleh menjadi saluran komunikasi bagi membekal dan berkongsi maklumat risikan dengan pantas, malah boleh bersifat masa nyata.

Menurutnya beberapa kata sepakat turut dicapai dalam perjumpaan dengan Presiden Interpol, antaranya dalam usaha mengeratkan hubungan antara Menteri-menteri yang bertanggungkawab soal kepolisian dan keselamatan di peringkat serantau.

Beliau berkata perbincangan peringkat serantau dan sejagat perlu diadakan lebih kerap kerana banyak isu perlu dirungkai untuk memperkukuh Interpol sebagai sebagai agensi kepolisian yang penting.

Ahmad Zahid berkata perhimpunan Agung Interpol akan diadakan di Beijing pada September ini yang menghimpunkan menteri-menteri yang bertanggungjawab soal kepolisian dan keselamatan negara-negara, sekali gus memperkukuhkan institusi kepolisian itu.

— BERNAMA