PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menelefon rakan sejawatnya dari Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed untuk meneliti kaedah bagi menyelesaikan isu teknikal yang menghalang penghantaran pekerja asing ke Malaysia.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, masalah penghantaran pekerja asing dari Bangladesh perlu diselesaikan dengan segera kerana ia telah memberi tamparan kepada industri.
Katanya, perusahaan perabot di Muar, Johor sepatutnya menerima pekerja asing seawal Jun tahun lalu dan telah menjelaskan levi bernilai RM10 juta, tetapi kelibat pekerja belum ditemu sehingga sekarang.
“Ia perlu diatasi dengan segera kerana ia telah menjejaskan eksport,” katanya kepada Sinchew Daily.
Kuala Lumpur dan Dhaka sebelum ini telah memeterai memorandum persefahaman supaya 1.5 juta pekerja asing dihantar ke Malaysia dalam tempoh tiga tahun.
Bantahan di kedua-dua negara bagaimanapun menyebabkan bekalan pekerja Bangladesh terjejas.
Dalam pada itu, mesyuarat Kabinet pada Rabu telah membuat keputusan supaya pengalihan tanggungan levi daripada pekerja asing kepada majikan ditangguhkan.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah yang sepatutnya dilaksanakan mulai 1 Januari lalu ditangguhkan selama setahun sehingga Januari 2018.