Home Akhbar Cina Tujuh lokasi baharu AES dikenal pasti

Tujuh lokasi baharu AES dikenal pasti

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tujuh kawasan kemalangan akan dipasangkan dengan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Antara kawasan kemalangan maut yang akan dipasangkan dengan sistem itu adalah Pagoh, Johor, iaitu lokasi kemalangan maut bas ekspres yang meragut 14 nyawa baru-baru ini.

Selain itu, satu lokasi di Kampar, Perak turut dikenal pasti sebagai tempat strategik untuk memasang AES.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kementeriannya akan menambahkan bilangan AES berdasarkan permintaan termasuk dari syarikat konsesi lebuh raya, kerajaan tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya kepada Sinchew Daily, kerajaan tidak pernah membatalkan AES dan 14 sistem sedia ada masih berfungsi seperti biasa.

Beliau bagaimanapun menafikan khabar angin yang disebarkan melalui media sosial bahawa kerajaan akan memasang lebih 200 AES di seluruh negara.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan setakat ini hanya menerima tujuh permintaan daripada pihak dan unit yang berlainan.

“Kementerian tidak memasang AES secara sewenang-wenangnya, kami memasangnya berdasarkan permintaan NGO, kerajaan tempatan dan rakyat,” katanya.

Menurutnya lagi, AES dimasukkan ke dalam Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik atau AWAS yang juga menggabungkan unsur demerit di bawah Sistem KEJARA. — MalaysiaGazette