Home Ekonomi Pasaran getah dijangka kukuh minggu depan

Pasaran getah dijangka kukuh minggu depan

KUALA LUMPUR – Pasaran getah Malaysia dijangka lebih kukuh minggu depan berikutan unjuran peningkatan momentum komoditi itu, kata peniaga.

Menurutnya, pergerakan harga itu dijangka dipengaruhi oleh prestasi di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM), dagangan ringgit serta pasaran hadapan minyak mentah.

Harga kontrak hadapan TOCOM yang menetapkan harga tayar di Asia Tenggara, meningkat ke paras tertinggi hampir empat tahun pada Khamis, didorong oleh kebimbangan mengenai bekalannya berikutan bencana banjir yang melanda kawasan pengeluaran utama getah di Thailand yang juga pengeluar utama getah dunia.

Ia turut dipacu perkembangan harga minyak yang menokok lebih 2.5 peratus pada Khamis ketika dolar AS lemah susulan sidang media pertama bakal Presiden Donald Trump serta laporan bahawa Arab Saudi mengurangkan eksportnya ke Asia.

Menurutnya, harga minyak turut mempengaruhi harga getah kerana turun naiknya akan menentukan harga getah sintetik iaitu pesaing utama getah asli.

“Pasaran dijangka kekal kukuh apabila penggiat pasaran bimbangkan bekalan komoditi itu yang terhad serta minat belian yang kukuh,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah Malaysia meneruskan kenaikannya untuk empat hari berturut-turut.

Pada Rabu, komoditi itu ditutup pada paras tertinggi dalam masa tiga tahun dan mencecah paras tertinggi baharu sejak Februari 2013.

Peningkatan harga itu didorong oleh lonjakan dicatatkan di pasaran hadapan getah di Tokyo beserta harga minyak mentah utama yang juga penanda aras global.

Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga Lembaga Getah Malaysia pada tengah hari untuk SMR 20 melonjak 100 sen kepada 978.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 41 sen kepada 686.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup tidak rasmi SMR 20 menokok 68 sen kepada 956 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 46 sen kepada 691.0 sen sekilogram. – MalaysiaGazette