Home Nasional Perintah berkurung di Esszone dilanjut hingga 30 Januari

Perintah berkurung di Esszone dilanjut hingga 30 Januari

KUALA LUMPUR – Perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan dua minggu lagi bermula esok.

Penguatkuasaan perintah berkurung bagi fasa ke-58 itu selama 12 jam bermula 6 petang hingga 6 pagi.

Perintah itu akan berakhir pada 30 Januari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din dalam kenyataannya berkata, penguatkuasaan itu membabitkan tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan.

Menurut beliau, langkah itu diambil bagi mengekang pencerobohan pengganas dan ancaman penculikan.

“Pengganas termasuk kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh kawasan ini untuk penculikan bagi mendapatkan wang tebusan, jadi perintah berkurung ini diteruskan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ramli, penduduk yang hendak ke laut untuk aktiviti perikanan atau laluan mendesak semasa penguatkuasaan perintah berkurung ini, perlu mendapatkan permit daripada ketua polis daerah di kawasan masing-masing. – MalaysiaGazette