Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan lelaki berusia 59 tahun dan anak lelakinya yang berumur 34 itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas reman ke atas mereka tamat hari ini.
Majistret membenarkan KSU itu dibebaskan dengan jaminan RM200,000 manakala anaknya RM25,000.
Kedua-dua mereka sebelum ini ditahan reman tujuh hari bermula 4 hingga 11 Jan lalu dan disambung selama empat hari lagi sehingga hari ini.
Mahkamah sebelum ini mengeluarkan arahan reman ke atas suspek dan dua anaknya bagi tempoh tujuh hari.
Pada Rabu lepas, mahkamah membebaskan seorang lagi anak lelaki KSU tersebut yang berusia 29 tahun dengan jaminan RM10,000 selepas siasatan ke atasnya selesai.
Ketiga-tiga individu itu yang ditahan pada 4 Jan lepas disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
Terdahulu, KSU dan anaknya itu dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira 11 pagi berpakaian biasa dengan wajah masing-masing ditutupi baju.
KSU itu ditahan dirumahnya di USJ, Subang, Selangor pada 8 pagi, manakala dua anaknya ditahan selepas memberi keterangan di ibu Pejabat SPRM, hari yang sama.
Dua anak lelaki KSU itu merupakan pengarah urusan dua syarikat berbeza.
— BERNAMA