PULAU PINANG – MCA telah membuat keputusan sukar apabila melantik Tan Teik Cheng sebagai Pengerusi MCA Pulau Pinang yang baharu.
Pelantikan Teik Cheng untuk menggantikan Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai peneraju utama MCA Pulau Pinang merupakan tanda parti itu mengalihkan kuasa kepada orang tempatan.
Penganalisis akhbar Cina, Datuk Cheah See Kian berkata, selain pengalihan kuasa kepada orang Pulau Pinang, ia juga merupakan “keputusan sukar” dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Ia merupakan keputusan yang terpaksa diambil selepas MCA mengalami “kekalahan bersih” dalam pilihan Raya 2008 dan 2013.
“Jika ditambah dengan Pilihan Raya 1969 dan 1990, MCA mencatatkan ‘kekalahan bersih’ sebanyak empat kali,” kata See Kian dalam kolumnya di Nanyang Siang Pau.
See Kian berkata, MCA meletakkan pengerusi berprofil tinggi yang berasal dari luar Pulau Pinang iaitu Tan Sri Chan Kong Choy pada 2005.
Katanya, peletakan calon luar Pulau Pinang sebagai pengerusi negeri adalah bertujuan meleraikan konflik dalaman yang berlaku di negeri tersebut.
Katanya pengerusi Pulau Pinang pasca Kong Choy seperti Datuk Seri Liow Tiong Lai (2008-2010), Datuk Seri Ng Yen Yen (2010-2015) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (2015-2017) tetap gagal memberi kesan yang besar kepada MCA Pulau Pinang.
Menurutnya, MCA juga gagal membebaskan diri daripada nasib “orang kedua” apabila gagal mengatasi Gerakan sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) paling berpengaruh di Pulau Pinang.
Ujarnya, MCA pernah beberapa kali termasuk pada 1978 dan 1982 mengisytiharkan ‘perang’ ke atas Gerakan dalam usaha merampas jawatan Ketua Menteri.
Pada 1999, jumlah kerusi MCA buat julung kalinya mengatasi Gerakan, tetapi Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya mengatasi kemelut yang berlaku dengan Gerakan mengekalkan jawatan ketua menteri.
“Sejak itu, MCA terpaksa akur dengan nasibnya sebagai ‘bini muda’ di Pulau Pulau Pinang,” kata See Kian. — MalaysiaGazette