Media tempatan hari ini memetik Ketua Komunikasi Korporat PT PLN – syarikat pembekalan elektrik Indonesia – Made Suprateka sebagai berkata menerusi rasionalisasi subsidi elektrik mulai 1 Januari lepas, tarif elektrik meningkat secara bertahap bagi kegunaan domestik golongan berkemampuan yang menggunakan daya 900 Volt.
Katanya, kenaikan tarif elektrik itu adalah satu usaha kerajaan untuk memastikan subsidi bekalan tenaga itu menepati sasarannya.
Kenaikan tarif dilakukan setiap dua bulan sekali iaitu pada 1 Januari 2017, 1 Mac 2017, dan 1 Mei 2017.
Beliau berkata dengan kenaikan secara bertahap itu tarif untuk pelanggan 900 Volt akan naik daripada Rp605 menjadi Rp791 per kilowatt jam (kWj) mulai 1 Januari 2017, Rp1,034 per kWj mulai 1 Mac 2017 dan Rp1,352 per kWj mulai 1 Mei 2017.
RP1,000 adalah bersamaan kira-kira 30 sen Malaysia.
Sekumpulan mahasiswa baru-baru ini menyerahkan memorandum kepada kerajaan sebagai membantah kenaikan tarif baru elektrik itu.
Sementara itu Ketua Biro Komunikasi Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral (ESDM) Republik Indonesia, Sujatmiko pula dipetik sebagai berkata, berdasarkan catatan kementerian itu, jumlah subsidi elektrik pada tahun 2015 adalah sebanyak Rp56.55 trilion.
Katanya, daripada jumlah subsidi itu sebanyak Rp49.32 trilion dinikmati oleh pelanggan domestik yang menggunakan kuasa elektrik 450 Volt dan 900 Volt.
Beliau berkata, daripada 46 juta penerima subsidi itu hanya 23.15 juta pelanggan yang didapati tergolong sebagai masyarakat miskin dan tidak mampu.
Kira-kira 87 peratus jumlah subsidi elektrik pada 2015 dinikmati oleh pelanggan berkemampuan yang menggunakan kuasa daya 450 Volt dan 900 Volt sedangkan tujuan subsidi ialah untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan, katanya.
Pembekalan elektrik di Indonesia kini baru mencapai 88.3 peratus dan sebanyak 11.7 peratus atau kira-kira 29 juta penduduk di negara itu masih belum menikmati kemudahan bekalan elektrik.
–BERNAMA