KUALA LUMPUR – Peneroka Felda tidak akan terjejas dengan keputusan agensi itu untuk membeli 37 peratus kepentingan Eagle High Plantation Tbk (EHP).
Ini kerana menurut Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, pembelian tersebut tidak melibatkan aset peneroka.
“Yang mustahaknya, peneroka tak bankrap. Segala hasil kebun mereka tidak akan diusik.
“Paling tidak pun, kalau Felda ada masalah kewangan di kemudian hari, mungkin kami tidak boleh beri pinjaman lagi kepada mereka contohnya pinjaman perumahan atau mungkin pinjaman tersebut akan mengambil masa berbanding sekarang,” katanya ketika ditanya mengenai kerisauan segelintir pihak berhubung nasib peneroka akibat pembelian kepentingan tanpa kuasa mengawal syarikat perladangan Indonesia itu.
Tambah Shahrir, Felda menjadi medium kerajaan untuk membeli aset perladangan tersebut berikutan agensi berkenaan mempunyai pengalaman luas dalam bidang perladangan kelapa sawit.
“Kami ada kepakaran dan kerajaan beri mandat untuk kami melakukan penggabungan dan pengambilan alih (M&A) ini,” katanya lagi.
Tambah beliau, dana untuk membeli EHP akan dibiayai oleh kerajaan dan tiada sebab untuk peneroka merasa bimbang dan takut mengenai masa hadapan mereka.
“Bagaimana pula pembelian EHP boleh memberi impak kepada peneroka?
“Mereka ada aset sendiri dan tiada perubahan pada aset-aset tersebut.
“Kami juga tidak akan meletakkan liabiliti kepada peneroka,” tegasnya. – MalaysiaGazette