KUALA LUMPUR – Transformasi ekonomi dan sosial yang Malaysia alami sejak era penjajahan dan kemerdekan adalah disebabkan sumbangan besar semua peringkat masyarakat di negara ini yang bekerja bersama-sama.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kemakmuran dan pembangunan yang mereka bawa adalah daripada pengorbanan, inovasi dan bakat masing-masing yang memberi inspirasi kepada generasi semasa dan akan datang.
“Ia boleh dijadikan contoh kepada masyarat berbilang kaum yang lain,” katanya pada majlis pelancaran buku ‘Charting the economy – Early 20th century Malaya and contemporary Malaysian Contrast’ hasil tulisan baginda hari ini.
Berasaskan sumber dokumen arkib, buku tersebut memaparkan anggran baru Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam empat dekad pertama abad ke-20, satu tempoh masa ekonomi yang bergantung kepada komoditi semasa Malaya dijajah Inggeris dan membandingkannya dengan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan semasa.
Buku tersebut memaparkan bagaimana zaman meleset (Great depression) yang berlaku antara 1929-1932 mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan, upah menurun dan berlakunya tahap kepapan yang tinggi.
Malaya yang dahulunya bergantung kepada getah dan bijih timah dengan fokus geografi yang sempit dalam perdagangan antarabangsa tidak terlepas daripada kesan zaman meleset.
Baginda berpendapat, bagi memahami prestasi ekonomi semasa yang lebih baik adalah perlu memahami trend jangka panjang.
Sultan Nazrin menambah, pemahaman yang lebih baik terhadap peranan sejarah pelbagai kaum juga penting bagi memastikan pendekatan seimbang yang berterusan kepada usaha pembinaan negara pada masa depan dengan semua pihak memainkan peranan masing-masing.
Sementara itu, Professor Dwight Perkins berkata, hari ini Malaysia adalah salah satu daripada kisah kejayaan pembangunan ekonomi dengan potensi mencapai taraf negara berpendapatan tinggi.
“Bagaimana Malaysia mencapai kejayaan ini adalah proses yang telah bermula lebih satu abad lalu yang tidak diketahui umum,” kata Perkins yang merupakan guru Sultan Nazrin semasa beliau menuntut di Universiti Harvard.
Menurutnya, buku tulisan Sultan Nazrin ialah usaha penerokaan yang menghuraikan sejarah secara mendalam, daripada ekonomi berasaskan eksport getah dan bijih timah kepada pengeluar dan pengeksport produk pembuatan. – MalaysiaGazette