Paul Pogba akhirnya mendedahkan kenapa dia menolak tawaran untuk menyertai dua gergasi LaLiga, Barcelona dan Real Madrid dan kembali bersama Manchester United .
Jelas pemain tengah itu, dia mahu membuktikan kemampuan sebenarnya di Old Trafford.
Pemain antarabangsa Perancis berkenaan meninggalkan Juventus untuk bersama United dengan status sebagai pemain termahal di dunia selepas nilai perpindahannya dilaporkan mencecah hampir GBP90 juta pada Ogos lalu.
Dia juga berpeluang untuk meneruskan kerjayanya bersama kelab terbaik di dunia tetapi memilih untuk kembali ke England.
“Saya kembali ke Manchester United kerana saya memiliki sasaran yang tertentu. Ia merupakan cabaran yang besar buat saya,” kata Pogba kepada SFR Sport.
“Saya boleh memilih untuk menyertai Real Madrid atau Barcelona, yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya. Tetapi saya mengikut hati saya untuk kembali ke United.
“Saya mahu memenangi trofi bersama Manchester United , saya tidak pernah menang apa-apa di sini. Saya sentiasa memberitahu kepada diri bahawa satu hari nanti saya akan kembali ke United.
“Saya berhijrah ke Juve untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman dan saya sudah bersedia untuk berjuang untuk United.
“Saya tidak memikirkan mengenai nilai perpindahan saya. Saya kembali untuk bermain bola sepak.” – MalaysiaGazette