Home Utama PM hayati aspirasi golongan muda untuk input TN50

PM hayati aspirasi golongan muda untuk input TN50

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama hadirin menunjukkan simbol jari 5 sebagai simbolik Transformasi Nasional 20150 pada akhir sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 19 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini melancarkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan mengadakan dialog perdana bersama golongan sasar, belia dari seluruh negara, yang memberi imput mengenai aspirasi mereka bagi tempoh 30 tahun akan datang.

Bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), perdana menteri secara santai berdialog bersama belia daripada pelbagai latar belakang.

Najib berkata ini adalah masa paling sesuai untuk merangka hala tuju negara bagi tempoh 30 tahun lagi setelah negara dibangunkan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selama 30 tahun, dan Wawasan 2020 bagi tempoh masa yang sama.

“Dalam masa 30 tahun lagi, negara akan berubah dengan radikal. Amat sesuai sekali kita lihat teropong masa depan dengan memulakan wacana ini supaya kita membina masa depan bersama,” katanya ketika berucap sebelum sesi dialog yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen tempatan bermula pukul 9 malam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta menteri-menteri Kabinet, dan lebih 500 peserta dialog terdiri daripada komuniti belia dari semua negeri di Malaysia, untuk mendapatkan input dalam merencana dasar negara.

TN50, yang digagaskan Najib, merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.

Perdana Menteri berkata input daripada golongan belia ini akan dihimpunkan dengan segmen lain yang akan diadakan selepas ini, termasuk segmen wanita, korporat, budayawan, ulamak dan ahli akademik.

“Semua input ini akan dihimpunkan di bawah payung iaitu TN50… saya nak visi baharu ini datangnya daripada rakyat, ia akan memberi (mereka) rasa kepemilikan dan semangat kekitaan, (maka) kami mahu mendengar pandangan anda,” katanya.

Menurut beliau, pemimpin perlu menjadi seorang pendengar yang baik.

“…dan saya seorang pendengar yang baik, hari ini saya nak dengar suara hati rakyat, suara hati generasi muda dan aspirasi orang muda, kehendak orang muda sebab 2050 kepunyaan anda,” katanya.

Najib berkata sebagai sebuah negara bangsa, Malaysia telah melangkah jauh.

“Sebuah negara dan tamadun yang boleh bertahan lama ialah sebuah tamadun yang bertunjangkan ilmu, kepimpinan dan nilai yang baik.

“Jadi, jika hendak melakar negara Malaysia yang cemerlang pada 2050, ia perlu bertunjangkan kepada penguasaan ilmu seluas-luasnya,” jelasnya.

Khairy menjadi moderator dalam dialog yang berlangsung selama sejam, yang disifatkan Najib di akhir majlis berkenaan sebagai sangat berjaya.

“Sepanjang 41 tahun dalam politik, malam ini adalah yang paling nervous (gementar), sebab saya tak pernah buat secara live audience (di hadapan penonton) yang disiarkan secara langsung di tiga stesen televisyen. Alhamdulillah, ia berjaya. Saya simpulkan majlis Dialog Perdana malam ini amat berjaya sekali,” katanya yang disambut tepukan gemuruh oleh peserta.

— BERNAMA