Home Nasional Penjadualan semula penerbangan catar umrah A380

Penjadualan semula penerbangan catar umrah A380

Penjadualan semula itu melibatkan dua penerbangan Kuala Lumpur ke Madinah iaitu MH8204 dan MH8206 serta dua penerbangan Madinah ke Kuala Lumpur iaitu MH8205 dan MH8207.
KUALA LUMPUR – Empat penerbangan catar umrah A380 yang dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada 25 dan 26 Jan ini telah dijadualkan semula oleh Malaysia Airlines (MAS), kata TH Travel Services Sdn Bhd (TH Travel).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Khalid Mohd Nordin dalam kenyataan hari ini berkata penjadualan semula itu lanjutan daripada pemakluman MAS bahawa bermula 23 hingga 27 Jan, Jabatan Penerbangan Arab saudi (GACA) menggantung sementara pendaratan semua pesawat A380 atas sebab teknikal.

Penjadualan semula itu melibatkan dua penerbangan Kuala Lumpur ke Madinah iaitu MH8204 dan MH8206 serta dua penerbangan Madinah ke Kuala Lumpur iaitu MH8205 dan MH8207.

Katanya penerbangan MH8204 yang sepatutnya berlepas pada 25 Jan dari Kuala Lumpur ke Madinah telah dijadualkan semula ke 27 Jan dan waktu berlepas adalah pada pukul 6 petang manakala MH8206 yang sepatutnya berlepas pada 26 Jan dari Kuala Lumpur ke Madinah telah dijadualkan semula ke 28 Jan dan waktu berlepas adalah pada pukul 6 petang.

“Bagi MH8205 yang sepatutnya berlepas dari Madinah pada 25 Jan, ia telah dijadualkan semula ke 28 Jan dan waktu berlepas pada pukul 2.10 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3 petang.

“MH8207 yang sepatutnya berlepas dari Madinah pada 26 Jan telah dijadualkan semula ke 29 Jan dan waktu berlepas pada pukul 2.10 pagi dan dijangka tiba pada 3 petang,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Khalid berkata TH Travel kini dalam usaha menghubungi semua jemaah umrahnya yang terlibat agar dapat membuat persiapan sewajarnya berhubung perubahan jadual penerbangan mereka.

“Pihak TH Travel memohon maaf di atas sebarang kesulitan berikutan penjadualan semula penerbangan umrah tersebut, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

— BERNAMA