KUALA LUMPUR – Datuk Warno Dogol, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Abu Bakar Yahya dan Datuk Abdul Rashid Asari antara calon parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Selangor.
Itu nama-nama berdasarkan dokumen Formula 4319 Selangor yang ditular di media sosial kononnya pilihan Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum Ke- 14 nanti.
Ia didakwa disediakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan persetujuan semua pimpinan PKR, DAP, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Warno merupakan bekas wakil rakyat UMNO dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sabak tetapi tidak terpilih semasa pilihan raya umum lalu.
Beliau dikatakan akan menjadi calon PPBM Parlimen Sabak Bernam.
Nama Abdul Rashid yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dikatakan calon PPBM Parlimen Tanjung Karang.
Kawasan itu sekarang milik Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.
Abu Bakar pula merupakan bekas Pengerusi PERKASA Selangor dikatakan calon PPBM Parlimen Kapar.
Sementara Abdul Rashid yang juga Naib Presiden PPBM akan menjadi calon PPBM Parlimen Shah Alam.
Ahli Parlimen Shah Alam sekarang, Khalid Samad pula dikatakan bertanding calon PAN di Parlimen Kota Raja pada PRU-14.
Selain itu, Rafizi yang dikatakan tidak mahu lagi bertanding pada PRU-14 dikatakan memberi laluan kepada bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah sebagai calon PKR di Parlimen Pandan.
Hanipa Maidin dikatakan kekal sebagai calon Parlimen di Sepang tetapi sebagai calon PAN.-MalaysiaGazette