KUALA LUMPUR – Malaysia akan menubuhkan Pasukan Bertindak bagi menguruskan perkara-perkara berkaitan MH370 selepas misi pencarian pesawat yang hilang di Lautan Hindi itu digantung pada minggu lalu.
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan mengetuai Pasukan Bertindak itu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pasukan tersebut akan mengendalikan maklumat dan serpihan pesawat yang ditemui pada masa akan datang.
Katanya, usaha pencarian pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines itu telah menguji kekuatan manusia, sains dan teknologi dengan ombak setinggi 15 hingga 20 meter.
“Ia sememangnya satu cabaran untuk pasukan pencari dan penyelamat melibatkan ketiga-tiga negara dalam usaha menjejaki pesawat yang dilaporkan hilang secara misteri pada 8 Mac 2014.
“Keputusan menamatkan pencarian dasar laut tidak diambil ringan, gabungan kajian saintifik diteruskan untuk mengenalpasti lokasi pesawat terhempas, sehingga kini tiada sebarang maklumat terbaharu ditemui untuk mengetahui lokasi secara spesifik pesawat malang itu.
“Kami tahu ia adalah saat yang sukar untuk keluarga kesemua 227 mangsa MH370 dan 12 anak kapalnya. Bagaimanapun saya ingin menegaskan aspirasi mencari MH370 tidak akan dilepaskan begitu sahaja, yang mana pasukan pakar diketuai Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) terus menganalisa data komprehensif menerusi pencariannya,” katanya dalam kenyataan itu hati ini.
Tiong Lai berkata, pihaknya berharap inisiatif itu akan membawa hasil positif membolehkan jawapan lokasi pesawat itu ditentukan.
“Adalah penting bahawa segala keputusan berkaitan MH370 akan sentiasa dibuat dengan semangat kerjasama triparti (Malaysia, Australia dan China).
“Dalam perkara ini, kita menerima sokongan dan kerjasama dari kerajaan Australia dan China. Doa kami sentiasa bersama keluarga mangsa MH370,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette